fbpx
More

    Jom lihat bagaimana teknologi AI generatif tingkatkan produktiviti pengilangan semikonduktor Micron

    Teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif telah mendapat perhatian yang semakin meluas sejak beberapa tahun lalu, dengan pelbagai perkhidmatan seperti chatbot ChatGPT, model teks-ke-gambar DALL-E dan model penjanaan suara ElevenLabs mula digunakan oleh orang ramai untuk melengkapkan pelbagai tugasan harian.

    Oleh yang demikian, mungkin orang ramai tidak akan mengaitkan teknologi AI generatif dengan sektor pengilangan, namun sektor tersebut sebenarnya merupakan antara pelopor awal dalam mengaplikasikan teknologi AI generatif bagi meningkatkan produktiviti pengilangan.

    Antara syarikat multi-negara yang memupuk penuh teknologi AI generatif dalam proses pengilangan mereka adalah Micron, iaitu sebuah syarikat semikonduktor yang berpusat di Boise, Amerika Syarikat. Syarikat itu mempunyai pusat pengilangan di beberapa negara seperti China, India, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Jerman dan termasuklah Malaysia. 

    Besar kemungkinan, beberapa komponen dalam peranti anda seperti telefon, komputer atau tablet, mungkin mempunyai semikonduktor yang datang daripada salah satu kilang Micron di serata dunia.

    Dalam salah satu kilangnya di utara Taiwan, Micron menghasilkan produk-produk seperti High-Bandwith Memory HBME3 yang penting dalam memproses data AI yang semakin besar dan kompleks.

    Ia menyokong kadar memory bandwidth melebihi 1.2 terabait sesaat (TB/s) untuk pemprosesan yang lebih pantas, kapasiti yang lebih tinggi sehingga 50% sambil meningkatkan kecekapan tenaga sebanyak 2.5 kali ganda untuk setiap watt, berbanding generasi sebelumnya. TechNave telah diberi peluang bersama media lain dari Malaysia dan Singapura untuk melihat sendiri proses pengilangannya yang sangat canggih.

    Media Malaysia dan Singapura diberi taklimat mengenai pengilangan semikonduktor Micron di Singapura

    Menurut Naib Presiden Micron (Pengilangan Pintar & AI), Koen De Backer, Micron sudah memanfaatkan teknologi AI dan pembelajaran mesin (machine learning) dalam pengilangan semikonduktornya sejak 2015, dan telah memulakan penggunaan AI generatif sejak 2023. Sepanjang tempoh tersebut, Micron telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa untuk inovasi pengilangan pintar serta penyelesaian AI.

    Alat-alat bantuan berdasarkan AI

    Untuk meningkatkan lagi tahap produktiviti, Micron sedang membangunkan beberapa alat bantuan buat para pekerjanya seperti MyAssistant yang akan menyediakan laman utama bersepadu (unified landing page) untuk semua aplikasi pintar (smart applications) yang digunakan oleh mereka.  

    Ia bertindak seperti pembantu AI yang boleh memberi panduan menyeluruh serta merumuskan penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut, dalam bahasa yang mudah difahami oleh para pekerja. 

    Pekerja juga boleh menggunakan MyAssistant untuk menetapkan tugas-tugas pemantauan automatik (automated monitoring) untuk mengingatkan mereka tentang tugas yang perlu diutamakan dalam satu-satu masa.

    Secara asasnya, apabila seorang pekerja datang ke pejabatnya pada waktu pagi, MyAssistant boleh memberitahu tugas apakah yang perlu diutamakan selepas ia melakukan analisis di latar belakang.

    Koen De Backer (individu keempat dari kanan) berkongsi maklumat mengenai teknologi AI generatif dalam kilang Micron

    Untuk para jurutera yang bertugas di samping alatan-alatan canggih dalam kilangnya, Micron akan memperkenalkan pembantu Smart Manufacturing Co-Pilot yang memudahkan mereka untuk mengendali, memulakan tugas serta memahami hasil data daripada pelbagai aplikasi pintar. Ia akan memberi panduan kepada para jurutera dalam bahasa yang ringkas dan mudah difahami.

    Selain itu, teknologi AI juga digunakan dalam Intellisense yang akan membantu Micron dalam tugas-tugas perolehan (procurement). Intellisense boleh mengenal pasti bagaimana syarikat itu boleh mengurangkan kos, mengenal pasti pembekal alternatif, memantau prestasi pasaran serta memberi cadangan untuk strategi pemberian kontrak.

    Apabila Micron perlu membuat rundingan dengan para pembekalnya, Intellisense boleh membantu dalam mengenal pasti fakta dan peluang penting bagi menghasilkan perolehan yang lebih efektif. Ia membuat pengimbasan secara spesifik untuk kategori-kategori tertentu, berdasarkan pemantauan pasaran (market intelligence) serta mengimbas jutaan transaksi untuk maklumat yang lebih jelas dalam masa nyata. 

    Selain itu, Genie adalah satu alat berdasarkan AI generatif yang membantu pekerja dalam mencari maklumat daripada semua dokumentasi dalaman dan pangkalan data Micron, serta menyediakan idea baharu dan penyelesaian produktiviti. De Backer menyifatkan Genie seperti enjin carian Google, tetapi untuk data dalaman Micron sahaja.

    Ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti para pekerja sedia ada, malah akan membantu pekerja baharu dalam mempelajari ilmu pengetahuan yang baharu dengan lebih cepat.

    Genie juga boleh digunakan sebagai platform ujian untuk sebarang fungsi AI generatif yang dikhaskan untuk Micron.

    Smart Manufacturing Co-Pilot boleh membantu jurutera Micron bekerja dengan lebih cekap

    Buat sekitar 5,000 pekerja Micron yang terlibat dalam pengekodan (coding) pula, AI generatif boleh membantu dalam penjanaan kod automatik (automatic code generation) untuk melancarkan tugas mereka. De Backer berkata AI generatif boleh meningkatkan tahap produktiviti pengekod sekitar 15% ke 20%, manakala daripada segi jumlah kod pula, 30% daripada kod akan dihasilkan daripada AI sendiri.

    Sungguh pun begitu, De Backer turut berkata bahawa masih terdapat risiko yang perlu ditangani dalam memperkenalkan alat bantuan berdasarkan AI generatif. Mereka masih perlu mengutamakan perlindungan hak milik intelek (IP) supaya ia bukan sahaja tidak disebarkan kepada umum, malah boleh dikawal dalam kalangan pekerja Micron sendiri.

    Di samping itu, para pekerja juga akan dilatih supaya tidak bergantung kepada AI sepenuhnya dalam melengkapkan tugas, kerana ketepatan model AI ini masih belum sempurna. AI boleh membantu, namun ia tidak boleh menggantikan terus penilaian oleh manusia.

    Untuk kilangnya di Malaysia, Micron akan memperkenalkan teknologi AI generatif pada masa hadapan. Ia sudah pun menggunakan AI untuk bahagian-bahagian terpilih dalam operasinya.

    Apakah maksudnya untuk anda?

    Dengan teknologi AI generatif dalam pengilangan semikonduktor ini, apakah manfaatnya untuk para pengguna umum? De Backer berkata walaupun teknologi AI generatif yang telah dihuraikan di atas tidak memanfaatkan pengguna secara terus, ia boleh membantu dalam menghasilkan semikonduktor dengan prestasi yang lebih pantas sambil meningkatkan kecekapan tenaga.

    Ia juga membenarkan syarikat-syarikat yang menghasilkan peranti untuk melancarkan produk baharu dengan lebih pantas ke dalam pasaran.

    De Backer juga mengatakan teknologi AI generatif ini tidak akan menjejaskan mana-mana pekerjaan. Malah untuk Micron, kemajuan dalam teknologi AI akan turut meningkatkan permintaan untuk produk-produknya, lantas membenarkan syarikat itu untuk membesarkan operasi, membina lebih banyak kilang dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

    Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Whatsapp lancarkan Penapis Perbualan, memudahkan anda uruskan mesej belum dibaca

    WhatsApp, aplikasi pemesejan segera yang popular sedang memperkenalkan Penapis Sembang untuk membantu pengguna mengurus perbualan mereka dengan lebih cekap. Ramai pengguna sering...

    AMD lancarkan cip Ryzen PRO baharu, miliki seni bina Zen 4, RDNA 3 dan...

    AMD telah mengumumkan barisan pemproses komersial siri Ryzen PRO baharu yang dibina pada gabungan seni bina Zen 4 untuk CPU, RDNA 3...

    Jepun turut sasarkan Apple untuk amalan antitrust

    Selepas Suruhanjaya Eropah (EU) memaksa Apple membuka platform iOS untuk kedai aplikasi pihak ketiga di EU, negara lain turut sedang menyiasat Apple...

    WhatsApp Web akan bawa kemas kini dengan bar sisi baharu

    WhatsApp sentiasa menyegarkan antara mukanya untuk melibatkan pengguna dengan kemas kini terkini memfokuskan pada meningkatkan perkongsian media dan navigasi. WhatsApp Web sedang...

    Pembayaran parkir tanpa tunai akan dilaksanakan di Seremban dan Nilai mulai 2 Mei ini

    Bermula 2 Mei ini, Majlis Bandaraya Seremban akan melaksanakan caj parkir tanpa tunai di pelbagai kawasan di bawah bidang kuasanya di Nilai...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X