Site icon TechNave BM

Anda boleh keluarkan maksimum RM250 sahaja dari KWSP Akaun 3 jika anda tidak laksanakan e-KYC

Bermula 11 Mei sehingga 31 Ogos 2024, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menetapkan jumlah wang yang ingin dipindahkan kepada Akaun 3 atau “Akaun Fleksibel” yang baru diperkenalkan pada April lalu. KWSP telah memperkenalkan kemudahan Akaun 3 ini bagi memudahkan pencarum untuk mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Kini sebuah maklumat terbaru telah dipaparkan dalam aplikasi KWSP i-Akaun, di mana anda hanya boleh mengeluarkan wang daripada Akaun 3 sebanyak RM250 sehari sahaja.

Ahli yang ingin mengeluarkan wang lebih daripada RM250 dalam tempoh satu hari perlu melalui proses Electronic Know-Your-Customer (e-KYC) secara dalam talian, di mana anda perlu lakukan pengesahan identiti secara elektronik dengan teknologi pengecaman wajah dalam aplikasi KWSP i-Akaun.

Selain itu, anda juga boleh laksanakan alternatif lain seperti mengunjungi cawangan KWSP terdekat untuk pengesahan cap jari. Anda mungkin perlu lakukan langkah alternatif ini jika anda mengalami masalah dengan proses e-KYC dalam aplikasi KWSP.

Anda juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM50 jika anda ingin mengeluarkan wang daripada Akaun 3. Anda boleh pindahkan wang daripada Akaun 2 (Akaun Sejahtera) kepada Akaun 3 sebelum 31 Ogos 2024.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakan kemudahan ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sinar Harian

Exit mobile version