Site icon TechNave BM

Andaian klik ikon di status WhatsApp Stories boleh bocorkan data! Benar atau tidak?

Sehingga kini, rata-rata pengguna aplikasi WhatsApp telah mendapat kemas kini siaran dari pihak WhatsApp sendiri di ruangan WhatsApp Stories. Pelbagai spekulasi dan andaian telah muncul termasuklah pembocoran data peribadi akan berlaku jika anda klik pada ikon WhatsApp di WhatsApp Stories, namun adakah andaian ini benar?

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan pengguna telah klik pada ikon WhatsApp ini termasuklah kami. Apa yang ada hanyalah siaran dari pihak WhatsApp untuk memberitahu pengguna tentang siaran terkini di blognya atau berita terbaru mengenai WhatsApp. Anda boleh lihat sendiri tangkapan skrin dari peranti kami tentang apa yang ingin disampaikan oleh pihak WhatsApp.

Menurut pandangan kami, kebanyakan pengguna gemar menyemak dan memuat naik WhatsApp Stories. Jadi, WhatsApp ingin menyampaikan maklumat dengan lebih mudah hanya melalui siaran di Stories sahaja. Dengan siaran di Stories, maklumat lebih cepat diterima oleh pengguna berbanding jika pengguna perlu mencari maklumat sendiri di laman rasmi blog WhatsApp. Kaedah ini dilihat sebagai kaedah perhubungan baharu di antara WhatsApp dan penggunanya untuk menyampaikan maklumat terkini.

Berikutan andaian bahawa pembocoran data boleh berlaku, kami berpandangan bahawa ia adalah tidak masuk akal kerana WhatsApp mengamalkan pemesejan secara penyulitan hujung ke hujung (encyption end to end). Tiada pihak ketiga yang boleh mengambil sumber data peribadi anda dengan hanya satu klik di ikon tersebut dalam platform WhatsApp. Andaian yang telah disebarkan tidak berasas dan memandangkan ia adalah sebuah ‘andaian’, maka terbukti bahawa penyebar maklumat tidak bertanggungjawab ini hanya mengandaikan sesuatu berdasarkan pandangan dirinya sahaja.

Andaian mengenai hal ini. Berita TV3 adalah berita lepas mengenai WhatsApp, tidak berkaitan dengan kemas kini Stories dari WhatsApp. [Sumber gambar: Apple User Group Malaysia]

Benar, WhatsApp mempunyai kontroversi tentang masalah privasi dan data, namun anda boleh semak kembali penjelasan mengenainya untuk mengelakkan kekeliruan. Kami juga ada memberi beberapa alternatif aplikasi pemesejan yang selamat selain WhatsApp untuk anda gunakan.

Apakah pandangan anda mengenai hal ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version