Site icon TechNave BM

Apple iMac dan AirTag mula dijual di Malaysia, harga bermula RM5,599 dan RM129

Jika anda menantikan kehadiran peranti Apple iMac dan Airtag ke pasaran Malaysia, anda tidak perlu tunggu lagi kerana kini mereka telah mula dijual di Malaysia secara rasmi. Anda boleh membeli kedua-dua peranti ini di laman web rasmi Apple Malaysia dengan harga serendah RM5,599 untuk iMac dan RM129 untuk AirTag.

Untuk komputer iMac, terdapat tiga varian yang ditawarkan. Varian yang paling rendah hadir dengan CPU teras lapan dan GPU teras tujuh (cipset Apple M1), RAM 8GB serta storan 256GB, Magic Keyboard tanpa Touch ID, dua port USB 4, dan skrin Retina 24 inci beresolusi 4.5K.

Manakala dua varian lagi hadir dengan spesifikasi tambahan seperti dua port USB 3, sokongan port Gigabit Ethernet, Magic Keyboard dengan Touch ID dan storan setinggi 512GB.

Untuk AirTag pula, terdapat satu varian sahaja dengan tanda harga RM129. Sebelum ini, harganya disenaraikan pada RM149, namun ia telah turun ke RM129. Anda boleh mengukir tulisan pada pengesan ini secara percuma dan ianya hanya terhad kepada 4 simbol sahaja.

Penghantaran AirTag akan mengambil masa selama 2-3 minggu, manakala iMac mengambil masa 3-5 hari bekerja sahaja.

Adakah anda ingin membelinya? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version