Site icon TechNave BM

Apple M2 Ultra dilancar: Cip komputer tercanggih daripada Apple dengan CPU 24 teras

Dalam acara Worldwide Developers Conference (WWDC) yang berlangsung pada hari ini, Apple memperkenalkan cip M2 Ultra yang merupakan cip komputer tercanggih daripada syarikat teknologi Amerika Syarikat itu. Seperti M1 Ultra sebelum ini, M2 Ultra pada asasnya adalah dua cip M2 Max yang digabungkan bagi menjana prestasi terpantas dalam komputer Mac.

Ia dibina menggunakan proses 5nm dan dua cip M2 Max itu digabungkan melalui teknologi Ultrafusion. Hasilnya adalah cip M2 Ultra yang dilengkapi CPU 24 teras, GPU 76 teras dan memori gabungan (unified memory) sehingga 192GB dengan kelajuan bandwith 800GB/s.

Ini adalah peningkatan yang amat tinggi daripada 16GB, 400GB/s dalam M1 Ultra pada tahun lalu. CPU 24 teras ini terdiri daripada 16 teras berprestasi tinggi dan lapan teras kecekapan tinggi, untuk prestasi lebih pantas daripada M1 Ultra sebanyak 20 peratus.

Apple mengatakan M2 Ultra boleh menyunting video dalam DaVinci Resolve dengan kelajuan 50 peratus lebih pantas berbanding M1 Ultra. Dengan GPU 67 teras pula, penghasilan efek 3D dalam perisian Octane boleh dilakukan tiga kali lebih pantas berbanding M1 Ultra.

Untuk tugasan AI, M2 Ultra menawarkan Neural Engine 32 teras untuk prestasi 40 peratus lebih pantas berbanding M1 Ultra. Sewaktu menyunting video, M2 Ultra membenarkan 22 video 8K ProRes untuk dimainkan serentak, dan boleh dipautkan pada enam paparan Pro Display XDRs.

Dengan pengenalan M2 Ultra, proses pemindahan cipset daripada Intel kepada Apple Silicon kini telah pun lengkap untuk komputer Mac. Semua kategori komputer Apple kini dilengkapi cip Apple Silicon, termasuklah untuk kategori profesional. Buat masa ini, M2 Ultra akan ditawarkan dalam komputer Mac Studio dan Mac Pro.

Kongsi pendapat anda tentang cip ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version