Selepas memperkenalkan cip M2 pada awal tahun ini untuk komputer riba MacBook Pro, kini terdapat laporan mengatakan Apple mungkin akan melancarkan cip M3 pula seawal akhir tahun ini.
Menurut wartawan Bloomberg, Mark Gurman, Apple akan melancarkan cip M3 pada separuh kedua tahun ini dan ia akan dilengkapi dalam komputer desktop iMac baharu. Cip tersebut bakal menjadi cip komputer yang paling berkuasa oleh Apple dan akan dibina menggunakan nod proses 3nm.
Gurman mengatakan iMac itu sedang berada dalam fasa pembangunan akhir dan hanya akan memasuki fasa pengilangan besar-besaran dalam masa tiga bulan lagi, jadi pelancaran rasminya mungkin akan berlaku pada hujung tahun ini. Ia bakal ditawarkan dalam warna biru, perak, merah jambu dan oren.
Kali terakhir Apple memperkenalkan iMac adalah pada April 2021, di mana ia merupakan komputer pertama yang dilengkapi cip M1. Setakat ini masih tidak pasti sama ada Apple akan melancarkan iMac yang dilengkapi cip M2, atau mereka akan langkau terus kepada cip M3.
Kongsi pendapat anda tentang khabar ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Verge

