Wartawan teknologi Bloomberg, Mark Gurman, meramalkan bahawa Apple akan melancarkan beberapa model komputer Mac baharu yang dilengkapi cip M4 pada 1 November 2024. Ini termasuklah komputer riba MacBook Pro 14 inci dengan cip M4 Pro serta MacBook Pro 14 inci dan 16 inci dengan cip M4 Max.
Untuk komputer desktop, Apple akan melancarkan Mac mini dengan varian M4 dan M4 Pro, manakala iMac juga akan diperkenalkan dengan cip M4. Ini bakal menjadikannya komputer-komputer Mac pertama yang dilengkapi cip M4, sejak pengenalan cip tersebut buat kali pertama dalam iPad Pro yang dilancar pada Mei lalu.
Buat mereka yang inginkan Mac Studio atau Mac Pro dengan cip M4, Gurman berkata dua komputer itu hanya akan dilancar pada pertengahan 2025.
Selain komputer Mac, Apple juga dikhabarkan akan melancarkan iPad mini baharu pada bulan November 2024. Ini merupakan kali pertama Apple memperbaharui tablet kecil itu sejak 2021.
Untuk separuh pertama 2025 pula, Gurman meramalkan bahawa Apple akan melancarkan lebih banyak komputer dengan cip M4, terutamanya MacBook Air 13 inci dan 15 inci. Selain itu, sebuah iPhone SE baharu dengan fungsi Apple Intelligence juga mungkin akan dilancar, serta iPad Air 11 inci dan 13 inci yang baharu.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer Mac M4 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MacRumours

