Apple Worldwide Developers Conference 2026 (WWDC26) akan berlangsung dari 8 hingga 12 Jun 2026 menurut pengumuman rasmi oleh Apple. Acara tahunan untuk pembangun ini akan mengekalkan format hibrid seperti tahun-tahun sebelumnya dengan kebanyakan sesi disiarkan secara percuma secara atas talian manakala pengalaman fizikal akan diadakan di Apple Park.
Seperti biasa, acara dijangka memfokuskan pengumuman perisian termasuk iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27, tvOS 27 serta visionOS 27. Sepanjang minggu tersebut, Apple turut merancang lebih 100 sesi teknikal, makmal pembangun dan aktiviti komuniti.
Tumpuan utama tahun ini dijangka tertumpu kepada Apple Intelligence dengan penambahbaikan besar pada Siri yang dikatakan akan menjadi lebih memahami konteks dan berintegrasi dengan lebih baik merentas aplikasi. Terdapat juga laporan bahawa Apple mungkin menggunakan model AI daripada Google khususnya Gemini bagi menyokong sebahagian fungsi baharu tersebut.
Walaupun dijangka tiada pelancaran perkakasan baharu, kemas kini perisian seperti iOS 27 dilaporkan akan memberi tumpuan kepada kestabilan sistem, pembaikan pepijat dan peningkatan kebolehpercayaan keseluruhan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Apple

