Dengan ketibaan siri iPhone 17 di Malaysia, Apple telah membuat pelarasan harga untuk model sebelumnya di laman rasmi Apple Malaysia. iPhone 16 dan iPhone 16 Plus kini menerima potongan harga sebanyak RM500 yang menjadikan peranti tersebut lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, Apple telah menamatkan penjualan iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max di kedai dalam talian rasmi meninggalkan hanya varian lebih mampu milik dalam pasaran. Menariknya, Apple turut menyusun semula pilihan storan bagi model yang masih ditawarkan. iPhone 16 kini hanya tersedia dalam versi 128GB pada harga baharu RM3,499 (sebelum ini RM3,999).
Manakala iPhone 16 Plus ditawarkan pada harga RM3,999 untuk 128GB (sebelum ini RM4,499) dan RM4,499 untuk 256GB (sebelum ini RM4,999). Pilihan storan lebih tinggi iaitu 256GB dan 512GB untuk iPhone 16 serta 512GB untuk iPhone 16 Plus telah dihentikan. Pelarasan ini menjadikan barisan iPhone lebih ringkas dengan fokus pada kapasiti storan paling popular.
Bagi pengguna yang menunggu tawaran lebih berpatutan, inilah masa terbaik untuk mendapatkan iPhone 16 atau iPhone 16 Plus dengan harga lebih menarik. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

