Site icon TechNave BM

Assassin’s Creed Mirage akan ditawarkan untuk iPhone dan iPad pada 6 Jun 2024

Siri iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max serta tablet iPad yang dilengkapi cip M1 sudah mempunyai kuasa pengkomputeran yang cukup tinggi untuk bermain game berkualiti konsol, seperti Resident Evil Village, Resident Evil 4 Remake dan Death Stranding. Kini tiga peranti tersebut boleh memainkan satu lagi game popular dalam masa terdekat iaitu Assassin’s Creed Mirage.

Penerbit game tersebut, Ubisoft Sofia, membuat satu pengumuman dalam LinkedIn bahawa Assassin’s Creed Mirage akan ditawarkan untuk platform iPhone dan iPad yang layak bermula 6 Jun 2024. Game itu telah dibangunkan untuk menyokong input skrin sentuh bagi memudahkan pengalaman permainannya dalam skrin peranti mudah alih.

Ini bakal menjadikan Assassin’s Creed Mirage sebagai game Assassin’s Creed pertama yang disesuaikan (ported) daripada konsol ke peranti mudah alih. Ia juga menunjukkan bahawa mungkin lebih banyak game konsol pada masa hadapan akan ditawarkan untuk iPhone dan iPad.

Beritahu kami di Facebook jika anda ingin memainkan game ini di iPhone atau iPad dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version