Site icon TechNave BM

ASUS ROG lancarkan monitor, papan kekunci dan tetikus “gaming” baru

Selain melancarkan beberapa komputer riba gaming, ASUS ROG turut memperkenalkan produk baru dalam barisan perkakasan gaming seperti monitor Swift, papan kekunci Claymore dan tetikus Gladius.

Monitor gaming ROG Swift PG32UQ ialah monitor HDMI 2.1 32 inci yang pertama di dunia dengan panel IPS 144Hz. Ia mempunyai dua port HDMI 2.1 yang boleh memberikan paparan 4K 120Hz daripada konsol gaming terkini, serta fungsi ASUS Extreme Low Motion Blur Sync dan ASUS Variable Overdrive untuk paparan imej lancar. Daripada segi warna, monitor ini mempunyai pengiktirafan DisplayHDR 600, 160% sRGB dan gamut warna 98% DCI-P3.

Papan kekunci ROG Claymore II menampilkan kekunci ROG RX Blue Optical Mechanical Switches dengan rekaan hollow-square stem untuk memastikan tindak balas pantas yang tiada lantunan atau getaran keterlaluan. Ruang numpad juga boleh dicabut atau diletakkan di bahagian kiri atau kanan papan kekunci mengikut keselesaan pengguna. Claymore II boleh digunakan secara wayarles atau kabel USB-C, manakala bateri 4,000mAh menjanjikan penggunaan sehingga 40 jam.

Tetikus gaming wayarles ROG Gladius III mempunyai sensitivit 19,000 dpi serta butang Push-Fit Switch Socket II yang menyokong butang mekanikal 3 pin atau butang mikro optikal Omron 5 pin agar pengguna boleh melaraskan pengalaman klik mengikut kesesuaian mereka. Gladius III juga terdapat dalam versi berwayar dengan kabel ROG Paracord.

ASUS Malaysia akan mengumumkan maklumat jualan produk-produk di atas dalam masa terdekat. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana produk di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version