Site icon TechNave BM

ASUS ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition dilancar: Tampilkan hiasan dan aksesori khas Diablo

Selepas melancarkan siri telefon pintar gaming ASUS ROG Phone 6D pada bulan lalu, kini ASUS ROG melancarkan sebuah lagi edisi khas untuk telefon gaming perdana itu iaitu ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition.

Telefon ini menampilkan hiasan khas daripada game mudah alih popular Diablo Immortal, terutamanya dengan warna merah Hellfire Red di bahagian belakang serta cahaya Aura RGB. Dalam telefon, ASUS ROG turut menyediakan antara muka (UI) Diablo khas seperti ikon, animasi dan efek bunyi.

Selain itu, ia turut datang dalam kotak khas yang mirip Horadic Cube iaitu sebuah item popular dalam game Diablo. Di dalam kotak, terdapat beberapa lagi aksesori bertemakan game tersebut seperti sebuah kotak kecil Worldstone Shard, gulungan peta Sanctuary World, obor lampu King Fahir, sarung telefon Shield Blessing Aero Case dan alat kad SIM dengan logo Diablo.

Perlu diingati bahawa ini adalah ROG Phone 6, jadi ia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 dan bukannya MediaTek Dimensity seperti dalam ROG Phone 6D. Spesifikasi lain termasuklah RAM LPDDR5 16GB dan storan dalaman UFS 3.1 512GB.

ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition akan mula dijual pada 18 November 2022, namun setakat ini tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version