Site icon TechNave BM

ASUS ROG Phone 7D dikesan di Geekbench, mungkin dilengkapi Snapdragon 8 Gen 2

Seperti tahun-tahun sebelum ini, ASUS dijangka bakal melancarkan siri telefon pintar gaming ROG Phone 7 yang dilengkapi cipset tercanggih oleh Qualcomm. Kini data penanda aras untuk sebuah telefon gaming ASUS telah dikesan dalam Geekbench yang mungkin menunjukkan bahawa ia akan dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 2.

Telefon tersebut mempunyai nombor model ASUS_AI2205_D dan mencatatkan markah penanda aras yang agak tinggi dalam Geekbench 6 iaitu 2,012 mata untuk ujian teras tunggal dan 5,697 untuk multi-teras. Menurut Geekbench lagi, telefon itu mempunyai papan induk “kalama” iaitu nama kod untuk cipset Snapdragon 8 Gen 2.

Untuk tahun ini, siri ASUS ROG Phone 7 dijangka akan terdiri daripada tiga varian iaitu ASUS ROG Phone 7, ROG Phone 7D dan ROG Phone 7 Ultimate. Selain Snapdragon 8 Gen 2, spesifikasi yang dikhabarkan termasuklah skrin AMOLED dengan kadar 165Hz, RAM 16GB dan storan 512GB.

Pada tahun lalu, telefon gaming ASUS ROG Phone 6 tidak dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 1, sebaliknya ia menggunakan varian yang lebih pantas iaitu Snapdragon 8 Gen 1+. Mungkin untuk siri ASUS ROG Phone 7 yang akan dilancar pada tahun ini, ASUS tidak akan menunggu varian yang lebih pantas untuk cipset Snapdragon 8 Gen 2.

Sementara itu, ASUS ROG Phone 6D pula menggunakan cipset tercanggih daripada MediaTek iaitu Dimensity 9000+. Ia merupakan kali pertama ASUS ROG menghasilkan telefon gaming yang dilengkapi cipset MediaTek.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: My Smart Price

Exit mobile version