ASUS telah mendedahkan bahawa mereka akan mengumumkan PC permainan pegang tangan ROG Ally X pada 2 Jun ini. ASUS juga mendedahkan beberapa butiran mengenai peranti itu melalui saluran YouTube ROG Global.
Video tersebut mendedahkan bahawa peranti itu akan dinamakan ROG Ally X dan ia akan menawarkan ciri tambahan berbanding ROG Ally semasa untuk pengguna yang lebih tegar. Ally X akan menggunakan cip Ryzen Z1 Extreme yang sama dengan ROG Ally 2023 dan paparan VRR 120Hz.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa penambahbaikan pada Ally X seperti kapasiti bateri yang lebih besar. Naib Presiden Kanan ASUS, Shawn Yen berkata bahawa bateri itu akan mendapat peningkatan 30-40% tanpa memberitahunya secara spesifik. Perubahan lain termasuk peningkatan RAM dan lebih banyak storan. Slot M.2 2230 juga akan ditukar kepada slot M.2 2280.
Bemungkinan Ally X mempunyai dua port USB-C. ASUS juga telah mengalihkan slot mikroSD untuk mengelakkan haba. Antara bayangan perubahan lain ialah pada butang kawalan, pilihan warna hitam dan sistem Armory Crate SE versi 1.5. ROG Ally X akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Jun 2024. Harga pula dikatakan lebih tinggi daripada Ally 2023 semasa.
Beritahu kami jika anda berminat dengan peranti ini di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

