Site icon TechNave BM

ASUS TUF Dash F15 dan Gaming A15 dilancar di Malaysia: Ryzen 5000, RTX 3000 bermula RM5,299

CES 2021 sudah pun melabuhkan tirai pada minggu lepas dan kita telah pun melihat pelbagai komputer riba daripada banyak jenama termasuk ASUS. Kini ASUS Malaysia sudah pun mengesahkan kehadiran beberapa komputer riba yang diumum dalam CES 2021 ke dalam pasaran Malaysia, bermula dengan siri ASUS TUF yang akan dipasarkan bermula bulan ini.

TUF Dash F15 menampilkan cipset Intel Core i7-11375H, Nvidia GeForce RTX 3070 RAM 16GB dan storan SSD 1TB. Selain reka bentuk mudah alih seperti berat 2kg dan ketebalan 19mm, komputer riba ini turut mempunyai pengiktirafan tentera MIL-STD-810H yang menunjukkan ia mampu menahan pelbagai jenis impak. Ia akan dijual pada harga RM6,999.

Bagi yang ingin mengutamakan prestasi gaming pula, TUF Gaming A15 yang terdapat dalam dua varian yang menampilkan prestasi lebih pantas dengan cipset AMD Ryzen 7 5800H dan RAM DDR4 16GB. Varian pertama dilengkapi RTX 3070, SSD 1TB dan skrin 240Hz berharga RM6,699.

Bagi mereka yang inginkan varian yang lebih murah, komputer ini terdapat dalam varian RTX 3060, SSD 512GB dan skrin 144Hz pada harga RM5,299.

Buat peminat siri ASUS ROG pula, ASUS Malaysia sudah mengesahkan komputer riba ROG yang akan hadir ke Malaysia iaitu ROG Flow X13, Zephyrus Duo 15 SE, Zephyrus G15, Strix Scar 15/17, Strix G15/G17 dan XG Mobile. Anda boleh baca lebih lanjut tentang komputer-komputer ini dalam artikel pelancarannya.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer riba ASUS baru dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version