Site icon TechNave BM

ASUS Zenfone 9 akan dilancar pada 28 Julai 2022

ASUS bakal melancarkan siri telefon andalannya yang terbaharu pada tahun ini iaitu ASUS Zenfone 9 pada hari Khamis, 28 Julai 2022 jam 9:00 malam waktu Taiwan (sama waktu dengan Malaysia).

Selain daripada tarikh pelancaran, ASUS tidak berkongsi banyak mengenai telefon tersebut. Sebelum ini, sebuah video pendek yang tertiris di YouTube telah mendedahkan spesifikasi asas untuk telefon itu, seperti cipset Snapdragon 8+ Gen 1, skrin AMOLED berukuran 5.9 inci dengan kadar segar semula 120Hz, kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX766 dan bateri 4,300mAh.

Jika video itu benar, Zenfone 9 bakal mempunyai reka bentuk kompak yang ditampilkan oleh Zenfone 8 pada tahun lepas. Setakat ini masih tidak diketahui jika ASUS akan memperkenalkan Zenfone 9 Flip yang mempunyai kamera utama yang boleh diputar ke hadapan untuk mengambil swafoto.

Sebelum ini, siri Zenfone terkenal dengan varian Zenfone Flip yang mempunyai model kamera utama di belakang dan boleh diputar ke hadapan. Ini juga membuatkan skrinnya tidak perlu mempunyai takuk atau lubang tebuk untuk menempatkan kamera swafoto.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version