fbpx
More

    Ulasan ASUS Zenfone 8 – Telefon “flagship” Android paling comel

    Jika anda ingin membeli sebuah telefon pintar Android kategori andalan (flagship) pada tahun ini, hampir kesemua pilihan anda terdiri daripada telefon dengan saiz skrin sekitar 6.5 inci dan ke atas, jauh berbeza dengan saiz 5 inci yang pernah menjadi trend telefon beberapa tahun lalu. Anda tidak mempunyai pilihan langsung jika anda inginkan telefon andalan Android dengan skrin yang lebih kompak, melainkan iPhone 12 mini jika anda sanggup gunakan iOS.

    Jadi inilah yang membuatkan telefon andalan ASUS Zenfone 8 sangat menarik berbanding telefon-telefon setaraf di pasaran. Selain dilengkapi spesifikasi tercanggih seperti cipset Snapdragon 888, ia dilengkapi saiz skrin yang dianggap kecil untuk standard terkini iaitu sekadar 5.9 inci sahaja. Jadi adakah telefon unik ini layak menjadi telefon anda seterusnya? Ayuh ketahuinya dalam ulasan kami di bawah:

    Rekaan – Telefon kecil dengan binaan kukuh

    Sebaik sahaja anda memegang telefon ini, anda boleh merasakan saiznya yang lebih kecil berbanding majoriti telefon pintar terkini. Dengan saiz skrin 5.9 inci, ketebalan 8.9mm dan berat 169 gram, telefon ini memang sangat mudah dipegang dengan satu tangan dan ibu jari juga boleh mencapai seluruh kawasan skrin dengan lebih mudah.

    Di belakang, telefon ini mempunyai rekaan yang agak generik kerana ia langsung tidak mempunyai ciri-ciri yang membuatkannya nampak unik dengan telefon lain. Warna yang kami dapat adalah perak Horizon Silver dengan sudahan pusam (matte) berkilauan jadi ia tidak akan meninggalkan kesan cap jari. Jika anda inginkan telefon dengan rekaan belakang yang anggun menawan, Zenfone 8 bukan telefon untuk anda.

    Bonggol kamera pula berada di bahagian atas kiri dan ia tidaklah terlalu tebal seperti kamera dalam sesetengah telefon andalan lain. ASUS juga tidak meletakkan sebarang logo di bahagian belakang, sebaliknya sekadar meninggalkan teks biasa “ASUS Zenfone” dalam warna putih yang hampir sama dengan warna perak telefon ini, membuatkannya sukar dibaca. Penjenamaan yang halus serta rekaan generik pasti akan digemari oleh mereka yang mengutamakan gajet low-profile.

    Sunguhpun rekaannya tidak begitu menarik, mutu binaannya masih terasa kukuh. Badan belakangnya dibuat dengan Gorilla Glass 3 manakala skrin hadapan pula dibuat dengan Gorilla Glass Victus iaitu kaca telefon Corning yang paling kukuh dan tahan calar setakat ini. Bahagian sisi telefon ini dibuat daripada aluminium dan jika dipegang dari belakang, sisinya mempunyai lengkuk sedikit. Walau bagaimanapun, skrinnya adalah rata sahaja tanpa sebarang lekuk di bahagian sisi.

    Pada sisi kanan, terdapat butang kawalan suara dan butang suis berwarna biru dan boleh ditetapkan untuk pelbagai jenis fungsi, manakala pada sisi atas pula terdapat bicu audio 3.5mm yang jarang sekali terdapat dalam telefon andalan pada tahun ini. Di bawah, terdapat ruang untuk dwi-kad SIM, port USB-C, lampu pemberitahuan LED dan pembesar suara. Malang sekali, telefon ini tidak menyokong tambahan memori melalui kad microSD.

    Spesifikasi – Setaraf dengan flagship Android lain

    Jangan tertipu dengan saiznya yang kecil kerana telefon ini boleh berdiri sebaris dengan telefon-telefon andalan Android daripada jenama-jenama lain. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk ASUS Zenfone 8:

    • Skrin 5.9 inci Samsung AMOLED FHD+, nisbah aspek 20:9
    • Kadar segar semula 120Hz, kadar respons 1ms, kadar bacan sentuhan 240Hz, kecerahan 1100 nits
    • Pertahanan kaca Gorilla Glass Victus
    • Sensor cap jari dalam skrin jenis optikal
    • Cipset Snapdragon 888 5G 5nm, Adreno GPU 660
    • RAM 8GB / 16GB LPDDR5 + storan 128GB / 256GB UFS 3.1
    • Bateri 4,000mAh dengan pengecasan pantas 30W
    • Sokong Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.2, NFC
    • Kamera utama 64MP Sony IMX686 f/1.8 OIS + kamera ultra lebar 12MP f/2.2
    • Kamera swafoto 12MP f/2.5
    • Kebolehan rekod video sehingga 8K 30fps
    • Dimensi : 148 x 68.5 x 8.9mm, Berat : 169g
    • Antara muka ZenUI 8 atas perisian Android 11
    • Pilihan warna Obsidian Black, Horizon Silver
    • Ciri kalis air dan debu IP68

    Skrin AMOLED 5.8 inci pada telefon ini menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, jadi anda boleh jangkakan penghasilan warna yang cantik serta pengalaman penggunaan yang lancar. Anda boleh tetapkan jika anda mahukan kadar 120Hz pada setiap masa atau biarkan Zenfone 8 menetapkan kadar secara automatik bagi menjimatkan bateri. Keterangan sehingga 1100 nits juga bermaksud skrin telefon ini masih boleh digunakan walaupun di bawah cahaya matahari terik.

    (Kiri) Anda boleh tetapkan suhu warna untuk skrin telefon, (tengah) pilihan kadar segar semula dalam skrin, (kanan) tiga pilihan jam untuk Always-On Display

    Daripada segi perisian, Zenfone 8 dilengkapi ZenUI yang menyerupai Android stock dan menampilkan antara muka (UI) yang sangat ringkas serta perisian remeh (bloatware) yang sedikit, sesuatu yang akan dihargai oleh mereka yang inginkan UI ringan. Ia sebenarnya lebih kurang sama dengan perisian dalam ASUS ROG Phone 5, tanpa tema-tema atau hiasan gaming dalam telefon tersebut.

    Dalam tetapan (settings), Zenfone 8 ada satu fungsi yang menarik iaitu penjagaan bateri (battery care) di mana anda boleh tetapkan had pengecasan bateri di antara 100%, 90% atau 80%, pilih kadar pengecasan yang lebih perlahan atau menetapkan jadual pengecasan anda sendiri. Fungsi ini adalah bagus bagi menjaga kapasiti bateri dalam jangka masa panjang. Dengan kapasiti sekecil 4,000mAh, amalan pengecasan yang seragam adalah penting jika anda ingin mengekalkan kapasiti tersebut sebaik mungkin pada masa hadapan.

    (Kiri) App Drawer yang ringkas tanpa banyak bloatware, (tengah) tetapan untuk multi-tugas, (kiri) contoh aplikasi yang dibuka dalam tetingkap kecil
    (Kiri) tetapan battery care untuk ubah had atau kadar pengecasan, (tengah) pelbagai mod bateri, (kiri) tetapan lebih spesifik untuk mod Advanced
    (Kiri) UI kamera dalam mod gambar, (tengah) lebih banyak mod dalam seksyen More, (kanan) UI kamera dalam mod video dengan pilihan resolusi

    Walaupun ia hanya dilengkapi dua kamera iaitu kamera utama 64MP dan kamera ultra-lebar 12MP, ia masih menyediakan fungsi-fungsi fotografi yang lengkap seperti mod malam, mod potret, penjejakan gerakan (motion tracking), gerak perlahan sehingga 480fps dalam resolusi HD, mod selang masa, rakaman dalam resolusi 8K serta penstabilan imej optikal (OIS). Jika OIS masih tidak cukup, telefon ini menawarkan fungsi HyperSteady yang lebih stabil namun hanya boleh digunakan dalam rakaman 1080p 60fps sahaja.

    Satu kekurangan yang anda mungkin akan perasan dalam senarai spesifikasi ini adalah baterinya yang agak kecil iaitu 4,000mAh sahaja. Tapi adakah ini bermakna telefon ini mempunyai hayat bateri yang pendek? Saya akan menjawab soalan ini dalam seksyen prestasi di bawah:

    Prestasi – Kecil-kecil, cili padi

    Sebelum saya membentangkan pengalaman menggunakan Zenfone 8, berikut adalah markah penanda aras yang saya telah jalankan untuk telefon ini:

    (Kiri) Markah penanda aras 3DMark Wild Life, (kanan) markah penanda aras Geekbench

    Seperti yang anda boleh jangkakan untuk sebuah telefon yang dilengkapi cipset Snapdragon 888, segala aplikasi boleh dibuka dengan amat pantas. Ini juga boleh dibuktikan dengan markah penanda aras yang tinggi dalam 3DMark Wild Life dan Geekbench 5. Anda juga boleh membuka pelbagai aplikasi serentak dan bertukar-tukar di antaranya tanpa sebarang masalah.

    Skrin AMOLED yang cantik ini menghasilkan warna yang sangat terang dan memberikan pengalaman yang mengasyikkan sewaktu saya menonton filem atau video YouTube. Saya terpaksa membiasakan diri dengan saiznya yang sekecil 5.9 inci kerana telefon-telefon yang saya pakai sebelum ini jauh lebih besar, namun tidak lama selepas saya mula menggunakan Zenfone 8, saya semakin menggemari saiz skrin kecil ini. 

    Lagipun, saya boleh capai seluruh penjuru skrin dengan lebih mudah. Pengimbas cap jari dalam skrin telefon ini berfungsi dengan sangat cepat, selagi tangan anda tidak mempunyai sebarang kotoran. Jika anda lebih menggemari kaedah face unlock untuk buka skrin, Zenfone 8 boleh melakukannya dengan sangat responsif.

    Satu perkara yang mengganggu saya pada mulanya adalah saiz muka taip (font) asal yang kecil, namun masalah itu boleh diselesaikan dalam tetapan telefon. Saya mencadangkan anda untuk turut menukar saiz muka taip jika ia terlalu kecil untuk anda, lebih-lebih lagi jika anda datang daripada telefon yang mempunyai skrin 6.5 inci dan ke atas.

    Sewaktu menonton video juga, dwi-pembesar suara stereo Zenfone 8 menghasilkan bunyi yang sangat kuat dan jelas. Ia mempunyai satu pembesar suara di bahagian bawah dan satu di bahagian atas skrin yang menghalakan bunyi ke arah pengguna. Ia menghasilkan kualiti audio yang sama seperti pembesar suara Bluetooth mini, dengan bass yang lebih dalam dan tona jelas berbanding pembesar suara telefon lain.

    Cipset Snapdragon 888 yang dilengkapi unit pemproses grafik (GPU) Adreno 660 juga membenarkan Zenfone 8 untuk memainkan sebarang game dengan tetapan grafik tertinggi. Daripada COD Mobile hinggalah Genshin Impact, Zenfone 8 boleh memainkan game dengan kadar bingkai (frame rate) yang sekata pada setiap masa.

    Ia juga didatangkan dengan perisian Game Genie, iaitu perisian gaming sama yang terdapat dalam ASUS ROG Phone 5. Untuk mengaksesnya, anda hanya perlu leret daripada bahagian kiri skrin sewaktu bermain game. Dalam perisian ini, anda boleh meneliti suhu dalaman telefon, kadar bingkai, halang panggilan dan mesej, tingkatkan prestasi, merakam sesi game dan banyak lagi.

    Game Genie boleh diaktifkan pada bila-bila masa sewaktu bermain game
    Tiada masalah untuk main dalam tetapan grafik tertinggi

    Walaupun dengan prestasi gaming yang cemerlang, saya berpendapat bahawa telefon ini tidak sesuai untuk dijadikan telefon gaming kerana skrinnya yang kecil. Sewaktu bermain game, sudah pasti anda akan menggunakan dua ibu jari dan memandangkan ibu jari adalah jari yang paling tebal, ia akan menghalang anda daripada melihat skrin sepenuhnya. Ibu jari anda mungkin akan membuatkan anda tidak nampak musuh dalam COD Mobile dan dalam sebuah game yang bergerak pantas (fast-paced), kecacatan tersebut mungkin akan menyebabkan kekalahan anda.

    Selain itu, telefon ini juga boleh menjadi panas dengan agak cepat. Oleh itu, saya menasihatkan anda untuk membuka sarung (casing) jika anda ingin bermain game dengan lama bagi memberikan ruang untuk haba melesap ke persekitaran telefon.

    Ibu jari yang besar akan mengganggu anda daripada melihat skrin kecil ini dengan baik

    Daripada segi bateri telefon ini yang mempunyai kapasiti 4,000mAh, walaupun ia agak kecil berbanding telefon-telefon andalan lain di pasaran, ia sebenarnya mampu untuk bertahan selama sehari walaupun dengan kadar segar semula skrin yang tinggi. Saya telah menggunakannya selama berhari-hari dengan kadar skrin Auto dan baterinya tidak mempunyai masalah untuk bertahan daripada pagi hingga malam.

    Sungguh pun begitu, bateri Zenfone 8 pada malam hari selalu tinggal sekitar 15% sahaja walaupun dengan penggunaan biasa. Ini adalah sangat berbeza dengan telefon andalan lain yang boleh meninggalkan pengecasan sekitar 30% walaupun selepas penggunaan selama sehari. Oleh yang demikian, bateri Zenfone 8 mungkin tidak akan bertahan lama jika anda selalu menggunakan aplikasi berat seperti kamera atau bermain game

    Selepas penggunaan selama 23 jam, bateri Zenfone masih mempunyai 5% pengecasan

    Sebagai contoh, jika saya pergi melancong dan akan menggunakan kamera Zenfone 8 dengan kerap, saya perlu mengaktifkan mod penjimatan kuasa dan merendahkan kadar segar semula skrin bagi memanjangkan hayat bateri. Saya berpendapat bahawa ini bukanlah sesuatu yang perlu dilakukan pada telefon andalan lain dengan bateri yang jauh lebih besar.

    Mujur sekali, Zenfone 8 menyokong kadar pengecasan yang cepat iaitu 30W. Benar, kadar ini bukanlah tinggi seperti beberapa telefon andalan di luar sana, tapi dengan kapasiti yang kecil, kadar 30W itu boleh mengecas bateri Zenfone 8 dengan penuh dalam masa sekitar sejam sahaja. Malah, pengecasan selama 20 minit sahaja dari 0% sudah cukup untuk mencapai sekitar 40% ke 50%.

    Kini mari kita beralih kepada kamera pula, di mana Zenfone 8 mempunyai keupayaan yang sangat bagus. Kamera utama 64MP dalam Zenfone 8 mempunyai sensor Sony IMX686 dengan OIS dan ia boleh mengambil gambar yang sangat cantik dalam mod auto. Warna gambar yang dihasilkan nampak natural dan tidak terlalu pekat (saturated) atau diproses (overprocessed). Dynamic range juga adalah luas untuk sebuah telefon andalan, jadi sebarang butiran tidak akan hilang dengan mudah di sebalik bayang atau cahaya terik.

    Mod potret juga berfungsi dengan baik, dengan pemisahan di antara subjek dengan latar belakang yang kemas, namun tidaklah sempurna. Kualiti gambar yang dihasilkan dalam kamera ultra-lebar juga adalah cantik seperti dalam kamera utama, selagi anda mengambil gambar di bawah cahaya terang. Ketiadaan kamera makro mungkin akan mengecewakan sesetengah pengguna, namun kamera ultra-lebar masih boleh mengambil gambar subjek yang dekat dengan jarak fokus sekitar 4cm.

    Seperti telefon andalan lain, Zenfone 8 mempunyai mod malam jika anda ingin mengambil gambar yang jelas dalam situasi malap, namun saya berpendapat bahawa mod auto pun sudah cukup bagus untuk mengambil gambar dalam situasi itu. Walaupun mod malam boleh menghasilkan gambar yang lebih cantik dengan noise yang dikurangkan, namun kamera Zenfone 8 mengambil masa empat saat untuk mengambil gambar dalam mod malam dan beberapa saat lagi untuk memproses gambar tersebut.

    Kamera swafoto juga boleh menghasilkan gambar yang agak baik, namun ia tidaklah secantik kamera Zenfone 8 Flip yang boleh gunakan kamera utama untuk mengambil swafoto. Selain itu, mod Potret untuk swafoto pula tidak mempunyai potongan yang kemas, di mana anda boleh lihat kecacatan gambar di bahagian telinga.

    Untuk rakaman video, Zenfone 8 boleh merakam dalam resolusi sehingga 8K 30fps, namun saya lebih menggemari resolusi 4K 60fps. OIS yang diaktifkan secara automatik adalah sangat berkesan untuk menstabilkan video anda sewaktu berjalan atau menggerakkan telefon dari kiri ke kanan.

    Jika penstabilan itu masih tidak cukup, anda boleh aktifkan HyperSteady namun ia akan memotong (crop) lagi medan penglihatan kamera bagi meningkatkan daya penstabilan. Dalam rakaman swafoto pula, penstabilan adalah agak menghampakan kerana efek warp yang masih boleh dilihat dengan ketara.

    Kesimpulan – Pilihan terbaik jika anda gemar skrin kecil

    ASUS Zenfone 8 adalah satu-satunya pilihan jika anda inginkan telefon kecil dengan spesifikasi tercanggih. Walaupun dengan saiz yang lebih kecil berbanding telefon-telefon andalan lain, ia masih boleh menjana prestasi yang sangat pantas dan memberikan pengalaman penggunaan yang sangat menarik.

    Memandangkan tidak banyak telefon telefon andalan Android yang dilengkapi saiz skrin ini, ia boleh dikatakan tidak mempunyai saingan yang sengit dalam pasaran sekarang. Malah dengan harga bermula RM2,699, ia adalah antara telefon andalan termurah yang boleh didapati dalam Malaysia sekarang. Alternatif yang sesuai kepada telefon ini termasuklah ASUS Zenfone 8 Flip (RM2,999), Black Shark 4 (RM2,299) dan Xiaomi Mi 11 (RM2,999).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ant International tubuhkan Pusat Niaga Digital baharu di Malaysia, tawarkan lebih 500 peluang pekerjaan

    Syarikat pembayaran digital dan teknologi kewangan (fintech) antarabangsa, Ant International, mengumumkan penubuhan Pusat Niaga Digital yang terbaru di Malaysia, terletak dalam menara...

    Xsolla Curine Video Game Academy dibuka di Malaysia untuk bangunkan bakat pembina “game” tempatan

    Syarikat kewangan video game global, Xsolla, telah bekerjasama dengan syarikat pembina usaha niaga (venture builder) antarabangsa, Curine Ventures, untuk membuka Xsolla Curine...

    Siri HUAWEI Pura 70 dilancar: Kirin 9010 dan sensor kamera 1 inci 50MP bermula...

    HUAWEI telah memperkenalkan telefon andalan siri HUAWEI Pura 70 di China, menampilkan empat model iaitu Pura 70, Pura 70 Pro, Pura 70...

    TP-Link meperkenalkan WiFi 7 di Malaysia: Menggandakan kelajuan internet secara wayarles

    TP-Link, penyedia rangkaian WiFi dan peranti rumah pintar terkemuka di dunia, siap untuk merevolusi cara kita mengakses internet, sejajar dengan visi kerajaan...

    Siri Samsung Galaxy S25 dijangka sokong kemas kini AI Gemini Nano generasi ke-2 Google

    Samsung memperkenalkan Galaxy AI dengan siri Galaxy S24, bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Kini, khabar angin mencadangkan bahawa kemas kini Gemini Nano...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X