Kerajaan mengumumkan pakej bantuan khas bernilai RM160 juta yang dibiayai bersama Grab bagi meningkatkan pendapatan bersih dan kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing bermula 2027. Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Pakej berkenaan merangkumi pelaksanaan peningkatan gaji minimum pekerja gig, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Perkeso. Matlamatnya adalah menyasarkan kenaikan pendapatan bersih purata purata sebanyak RM227 sebulan bagi pemandu e-hailing dan RM100 sebulan bagi penghantar p-hailing.
Melalui inisiatif ini, kerajaan bersetuju menawarkan padanan caruman Perkeso sebanyak 35 peratus. Kadar insentif padanan berkenaan akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya platform perkhidmatan turut memberi caruman untuk pekerja mereka. Bagi menggalakkan tabungan persaraan, kerajaan juga menawarkan caruman padanan KWSP sehingga RM600 setahun dengan had maksimum RM6,000 sepanjang hayat untuk setiap pekerja gig yang layak.
Dalam masa sama, Majlis Perundingan Gig kini berada dalam fasa konsultasi untuk menetapkan kadar gaji minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial yang dijadualkan selesai pada awal 2027. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

