Hari ini, BigPay telah mengumumkan bahawa DuitNow tersedia untuk pengguna BigPay Malaysia di seluruh negara. Dengan itu, pengguna BigPay boleh menggunakan DuitNow QR dan DuitNow Transfer untuk semua pembayaran. Pastikan anda mengemas kini BigPay anda kepada versi terkini dan anda boleh menggunakannya dengan segera.
Hanya buka aplikasi BigPay dan imbas kod QR DuitNow untuk membuat pembayaran. Selain itu, pengguna BigPay dengan akaun ganjaran airasia yang dipautkan akan memperoleh mata untuk setiap transaksi yang dibuat menggunakan DuitNow QR yang boleh ditebus pada aplikasi super airasia.
Kemudian untuk pemindahan (transfer) DuitNow, pengguna BigPay boleh menggunakan perkhidmatan tersebut untuk membuat pemindahan dana domestik segera dari BigPay kepada bank tempatan dan e-dompet yang mengambil bahagian.
Dana boleh dipindahkan dengan cepat kepada penerima lain melalui ID DuitNow melalui nombor telefon penerima, nombor Kad Pengenalan, nombor pendaftaran perniagaan, ID polis/tentera atau nombor pasport.
Untuk maklumat lanjut tentang BigPay DuitNow, anda boleh melawati portal rasmi BigPay di sini. Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.

