Site icon TechNave BM

Black Shark 4 dapat pengiktirafan TENAA dengan skrin 6.67 inci

Black Shark 4 sudah pun disahkan oleh CEO Black Shark dan kini telefon tersebut sudah mendapat pengiktirafan agensi China, Telecommunications Equipment & Network Acceptance Agency (TENAA), menandakan pelancarannya yang semakin hampir.

Penyenaraian TENAA mendapati peranti yang mempunyai kod nama SHARK KSR-A0 itu akan dilengkapi skrin berukuran 6.67 inci serta sistem operasi Android 11. Sebelum ini, Google Play Console turut menyatakan bahawa skrin Black Shark 4 mempunyai resolusi Full HD+ dan nisbah aspek 20:9.

Spesifikasi yang dilaporkan dalam TENAA

TENAA turut melaporkan bahawa telefon ini mempunyai bateri 4,500mAh, sesuatu yang telah pun disahkan oleh CEO Black Shark sebelum ini. Sebagai peranti gaming andalan, Black Shark 4 dijangka akan dilengkapi cipset Snapdragon 888. Sebelum ini, ujian penanda aras yang telah tertiris menunjukkan bahawa telefon itu mempunyai markah yang tertinggi setakat ini.

Pada tahun lepas, Black Shark 3 telah dilancar pada 3 Mac 2020 dan kalau tarikh itu dijadikan kayu ukur untuk tahun ini, kita boleh jangkakan pelancaran Black Shark 4 pula tidak lama lagi. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version