BlackBerry Limited dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan bakat muda dalam bidang keselamatan siber dan perisian tertanam selaras usaha negara memperkukuh keupayaan digital serta daya saing serantau.
Majlis menandatangani MoU disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada, The Honourable Maninder Sidhu sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Kerjasama bakal memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah UKM mengikuti latihan industri, penyelidikan bersama, pensijilan global dalam bidang keselamatan siber dan sistem tertanam menerusi program global QNX® Everywhere. Program tersebut juga menyediakan lesen bukan komersial, latihan dan bimbingan pakar kepada peserta.
Selain itu, UKM memperkenalkan Trustworthy Professionals Program iaitu inisiatif bersama BlackBerry dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk memberi latihan kemahiran siber serta nilai etika kepada 50 belia kurang bernasib baik.
Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh ekosistem pendidikan, inovasi dan keselamatan digital negara selaras aspirasi Malaysia menuju ekonomi berasaskan pengetahuan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

