Site icon TechNave BM

Boost Bank catatkan jumlah deposit sebanyak RM700 juta dalam tempoh 6 bulan pertama

Syarikat teknologi kewangan Boost hari ini melaporkan pelbagai kemajuan yang telah dicapai oleh mereka sepanjang tahun lalu, termasuklah untuk bank digital Boost Bank yang mencatatkan jumlah deposit keseluruhan sebanyak lebih RM700 juta dalam enam bulan pertama sejak ia mula beroperasi pada Jun 2024.

Bank digital pertama yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan itu menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik untuk menarik minat para pengguna, seperti pembukaan akaun RM1, kadar faedah harian yang kompetitif dan Savings Jar. Mereka juga bekerjasama dengan rakan-rakan dagang seperti CelcomDigi, Mydin, CKS Retail dan Servay bagi meluaskan perkhidmatan yang ditawarkan dalam Boost.

Pelbagai fungsi yang ditawarkan dalam Boost Bank

Selain itu, perkhidmatan pinjaman mikro buy now, pay later (BNPL) Boost PayFlex pula telah digunakan oleh 121,000 pelanggan dan mengagihkan lebih daripada RM240 juta sejak ia diperkenalkan. Malaysia dijangka akan mempunyai pasaran BNPL yang semakin meningkat dan Boost PayFlex akan turut memanfaatkan trend ini.

Daripada segi pinjaman kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Boost telah membiayai lebih RM5 bilion kepada ribuan PMKS di Malaysia dan Indonesia.

Boost PayFlex memudahkan pengguna untuk membuat pinjaman mikro dalam urusan harian
Pencapaian Boost dalam pembiayaan PMKS Malaysia dan Indonesia

Selain itu, Boost juga mencatatkan Nilai Transaksi Kasar (GTV) yang tinggi pada tahun lalu, dengan jumlah melebihi RM5.6 bilion.

Untuk tahun 2025, Boost Bank akan memperkenalkan produk-produk baharu yang merangkumi pinjaman pengguna serta produk-produk lain yang akan memperkasakan kewangan PMKS. Mereka juga akan terus memfokuskan pada para pelanggan yang sukar mendapatkan akses kepada perkhidmatan perbankan fizikal bagi meningkatkan keterangkuman kewangan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version