OpenAI dilaporkan sedang membangunkan produk perkakasan pertamanya yang dijangka hadir dalam bentuk fon telinga berkuasa AI. Ia menandakan perubahan strategi syarikat itu daripada peranti AI kompleks kepada produk audio yang lebih praktikal untuk pasaran massa.
Menurut sumber, peranti tersebut dipercayai akan dilancarkan sekitar tahun 2026 dan dibangunkan dengan fokus utama kepada interaksi berasaskan suara tanpa skrin selari dengan kekuatan teras teknologi kecerdasan buatan OpenAI.
Ia dikatakan mempunyai reka bentuk seperti fon telinga standard dengan fungsi AI bersepadu bagi membolehkan pengguna berinteraksi secara langsung melalui arahan suara termasuk tugasan bantuan harian dan pemprosesan maklumat masa nyata.
Laporan turut menyatakan OpenAI sebelum ini mempertimbangkan pembangunan peranti AI yang lebih canggih seperti telefon atau peranti berskrin, namun pendekatan tersebut ditangguhkan berikutan kos komponen yang tinggi dan kerumitan pembangunan.
Sebaliknya, OpenAI memilih untuk memulakan langkah dalam segmen perkakasan melalui peranti audio yang lebih ringkas yang dilihat lebih realistik daripada segi kos, kebolehskalaan dan penerimaan pengguna. Setakat ini, OpenAI masih belum mengumumkan nama rasmi, spesifikasi atau tarikh pelancaran produk tersebut.
Namun, earbuds AI ini dijangka menjadi asas kepada ekosistem perkakasan OpenAI sebelum syarikat itu memperkenalkan peranti yang lebih maju pada masa hadapan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ITHome

