BYD sah menewaskan Tesla dalam perlumbaan jualan kenderaan elektrik global bagi tahun 2025 selepas laporan mengesahkan BYD merekodkan jualan 1.61 juta unit kenderaan elektrik tulen (BEV) setakat akhir September berbanding 1.22 juta unit yang dicatatkan oleh Tesla dalam tempoh sama.
Jurang perbezaan hampir 388,000 unit menandakan BYD kini menjadi peneraju baharu dalam pasaran EV tulen dunia dan menamatkan dominasi Tesla yang selama ini dianggap tidak tertanding dalam segmen berkenaan. Menurut laporan, BYD menghantar sekitar 582,500 unit EV tulen sepanjang suku ketiga 2025.
Walaupun angka menunjukkan sedikit penurunan suku ke suku sekitar empat peratus, jumlah keseluruhan masih mengekalkan kedudukan BYD di hadapan pesaing utamanya. Dalam tempoh sama, Tesla mencatat penghantaran sebanyak 497,100 unit yang meningkat 29.4 peratus berbanding suku sebelumnya.
BYD telah mendahului Tesla secara berterusan sejak suku keempat tahun 2024 hasil daripada strategi pengembangan agresif dan integrasi rantaian bekalan yang efisien. Pembuatan bateri, cip dan komponen utama memberi kelebihan daripada segi kos serta kestabilan bekalan.
Selain daripada kenderaan elektrik tulen, BYD turut memperkukuh kedudukannya melalui barisan kenderaan hibrid plug-in (PHEV) yang menyumbang kepada kecekapan ekonomi berskala besar. Gabungan BEV dan PHEV menjadikan BYD lebih fleksibel dalam memenuhi permintaan pelbagai pasaran, di samping membantu menurunkan kos purata pengeluaran bateri.
Penganalisis menjangkakan BYD akan terus meningkat kerana memperoleh sokongan daripada dasar kerajaan China terhadap pembangunan kenderaan tenaga baharu (NEV). Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: CarNewsChina

