Selepas beberapa siri acahan awal, BYD akhirnya melancarkan model SUV elektrik kompak segmen B terbaharu dengan Atto 2 secara rasmi dalam pasaran Malaysia. Tidak seperti di China yang ditawarkan dalam dua varian, Malaysia hanya menerima satu varian, namun dengan spesifikasi yang lebih berkuasa.
Daripada segi reka bentuk, Atto 2 tampil moden dan sporty dengan lampu utama LED nipis, jalur DRL (daytime running light) yang garang serta kemasan hitam berkilat yang menyerlahkan gaya agresifnya. Bahagian belakang pula menampilkan lampu LED melintang penuh bersama corak Infinity Ring yang unik. Ia turut dilengkapi dengan rim aloi 17 inci.
Ruang dalaman kabin Atto 2 menawarkan suasana moden berteknologi tinggi. Antara ciri utama termasuk:
- Skrin infotainmen boleh putar bersaiz 12.8 inci
- Paparan digital kluster meter 8.8 inci
- Apple CarPlay dan Android Auto wayarles
- Kerusi kulit sintetik dengan fungsi pengudaraan untuk tempat duduk depan
- Pengecasan wayarles, arahan suara dan ruang kaki serta kepala yang luas
Atto 2 dikuasakan oleh satu motor elektrik dengan output 130 kW (174 hp) dan 290 Nm tork membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.2 saat. Malaysia juga menerima pakej bateri lebih besar iaitu bateri BYD Blade 51.13 kWh dengan jarak gerak sehingga 410 km (NEDC). Ia menyokong pengecas pantas DC 82 kW yang boleh mengecas dari 10% ke 80% dalam hanya 37 minit manakala pengecas AC pula menyokong sehingga 7 kW.
Ia turut menyediakan empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Snow. Harga rasmi Atto 2 adalah RM100,000 dan didatangkan dengan pelbagai aksesori percuma seperti pengecas V2L (vehicle-to-load) dengan kuasa sehingga 3.3 kW dan kabel pengecas Type 2 dengan palam 3-pin. Pembeli juga akan menerima:
- Waranti kenderaan 6 tahun/160,000 km
- Waranti bateri 8 tahun/160,000 km
- Waranti unit pemacu 8 tahun/150,000 km
Untuk 800 pembeli terawal, BYD menawarkan Easy Ownership Package bernilai RM13,500 yang merangkumi bayaran ansuran RM0 untuk 6 bulan pertama, pengecas dinding percuma untuk pemilik rumah bertanah dan langganan Sime Platinum 4+ selama 12 bulan untuk penduduk kediaman bertingkat. Tawaran lain termasuk:
- 4x servis pengecasan mudah alih ke pintu setiap bulan
- 2x cucian kereta, vakum dan rawatan tayar setiap bulan
- 2x servis penyelamatan EV secara percuma setahun
BYD Atto 2 dilihat berpotensi menjadi pilihan utama SUV elektrik mampu milik di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan EV terbaharu daripada BYD dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

