Site icon TechNave BM

CEO Samsung meminta maaf berikutan aplikasi GOS dalam siri Galaxy S22

Dalam mesyuarat tahunan pemegang syer Samsung semalam, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Samsung, JH Han, meminta maaf kepada para pelanggan dan pemegang syer berikutan kontroversi melibatkan sebuah aplikasi dalam siri telefon pintar andalan Samsung Galaxy S22.

Aplikasi yang bernama Game Optimization Service (GOS) itu pada asalnya direka untuk mengoptimumkan prestasi telefon pintar Galaxy S22 sewaktu bermain game. Walau bagaimanapun, ramai pelanggan menyatakan aplikasi gaming itu telah memperlahankan prestasi untuk ribuan aplikasi lain.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Samsung telah menyediakan kemas kini baharu yang membenarkan pengguna untuk memilih sendiri jika mereka ingin mengoptimumkan prestasi gaming. JH Han menjelaskan Samsung akan terus mendengar maklum balas daripada pelanggan dan akan berusaha untuk mengelakkan perkara serupa untuk berlaku pada masa hadapan.

Siri Samsung Galaxy S22 telah dilancar di Malaysia pada Januari lalu dengan harga bermula RM3,499. Jangan lupa untuk baca ulasan Samsung Galaxy S22 Ultra 5G kami terlebih dahulu jika anda berminat untuk membelinya.

Adakah anda mengalami masalah ini dalam Galaxy S22 anda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Thelec

Exit mobile version