fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy S22 Ultra 5G – Pengganti yang layak untuk Galaxy Note

    Seperti biasa pada setiap awal tahun, baru-baru ini Samsung telah melancarkan siri telefon pintar andalan (flagship) terbaru Samsung Galaxy S22 5G di mana varian tercanggih dan paling menarik adalah Samsung Galaxy S22 Ultra 5G. Ia dilengkapi pelbagai spesifikasi menarik seperti cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1, RAM 12GB dan skrin Dynamic AMOLED 2X 120Hz, namun keunikan untuk Galaxy S22 Ultra adalah stilus S-Pen di dalamnya.

    Jadi dengan S-Pen ini, adakah Galaxy S22 Ultra merupakan pengganti yang layak kepada legasi Galaxy Note pada tahun-tahun lalu? Ayuh baca ulasan ini yang telah ditulis oleh pengulas TechNave English untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Memang sah nampak macam Galaxy Note

    Samsung Galaxy S22 Ultra 5G mempunyai rekaan yang paling unik dalam siri Galaxy S22 kerana ia lebih menyerupai kepada telefon pintar yang dilancar pada 2020 iaitu Samsung Galaxy Note20 Ultra. Perkara ini boleh dilihat pada bahagian sisi atas dan bawah yang rata, bahagian sisi kanan dan kiri yang melengkung serta kewujudan slot khas untuk menempatkan stilus S Pen.

    Sungguh pun begitu, terdapat penambahbaikan yang ketara daripada telefon 2020 itu. Bonggol kamera tebal pada Galaxy Note20 Ultra kini diganti dengan lima benjolan kecil untuk lensa Galaxy S22 Ultra. Walaupun ini membuatkannya masih tidak boleh diletakkan secara rata, isu ini boleh diselesaikan dengan memakaikan sarung (casing).

    Malangnya, Galaxy S22 Ultra tidak disertakan bersama sarung di dalam kotak. Susulan daripada trend untuk mengurangkan pembaziran bahan dalam bungkusan produk, Galaxy S22 Ultra tidak disertakan bersama pengecas dan fon kepala. Kotak telefon ini hanya menyediakan kabel pengecas, alat kad SIM dan dokumen penting.

    Daripada segi binaan, Galaxy S22 Ultra dibina dnengan kaca Gorilla Glass Victus+ untuk ketahanan lebih tinggi terhadap kesan calar atau jatuh, manakala rangkanya dibuat daripada Armor Aluminium. Ia turut dilengkapi rating kalis air IP68 jadi anda boleh basuh permukaan telefon ini tanpa risau.

    Sewaktu memegang telefon ini pula, Galaxy S22 Ultra rasa serupa dengan Galaxy Note20 Ultra walaupun telefon ini lebih tebal sebanyak 0.8mm dan lebih berat sebanyak 20 gram. Ini adalah kerana Galaxy S22 Ultra mempunyai bateri 5,000mAh, iaitu kapasiti yang lebih tinggi berbanding 4,500mAh dalam Galaxy Note20 Ultra.

    Untuk S Pen dalam telefon ini pula, rekaan dan pengalaman menggunanya masih sama dengan Note20 Ultra. Kali ini, ia mempunyai warna matte hitam dengan bahagian hujung yang sama dengan warna badan telefon. Memandangkan unit yang dipinjamkan kepada kami berwarna hitam, S Pen dalamnya mempunyai warna hitam secara keseluruhan. Galaxy S22 Ultra turut ditawarkan dalam pilihan warna putih, hijau atau merah burgundy.

    Spesifikasi – Semuanya flagship

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy S22 Ultra:

    • Cipset Snapdragon 8 Gen 1
    • RAM 8GB atau 12GB
    • Storan dalaman 128GB, 256GB atau 1TB
    • Skrin Dynamic AMOLED 2X QHD+ berukuran 6.8 inci
    • Kamera utama 108MP + kamera ultra-lebar 12MP + kamera telefoto 10MP + kamera periskop 10MP
    • Kamera swafoto 40MP
    • Menampilkan kadar segar semula 1Hz-120Hz, kadar bacaan sentuh 240Hz, Samsung Pay dengan NFC, pengimbas cap jari ultrasonik, S-Pen, rating kalis air IP68, pengecasan pantas 45W, pengecasan wayarles 15W
    • Menyokong 5G, WiFi 6E, Bluetooth 5.2, Ultra Wide Band (UWB)
    • Bateri 5,000mAh (pengecas tidak disertakan)

    Selepas ditawarkan dengan cipset Exynos selama ini, pelanggan Samsung di Malaysia kini boleh mendapatkan sebuah telefon Galaxy S yang dilengkapi cipset andalan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 dengan Galaxy S22.

    Untuk skrinnya pula, ia berukuran 6.8 inci dengan panel Dynamic AMOLED 2X, teknologi Vision Booster, kecerahan 1,750 nits dan teknologi LTPO 2.0 dengan kadar segar semula adapatif 1Hz-120Hz. Kadar segar semula adaptif ini bermaksud S22 Ultra boleh menjimatkan bateri sewaktu memaparkan imej statik, namun masih boleh menjana penggunaan yang sangat lancar sewaktu menatal (scrolling). Selain itu, kecerahan puncak 1,750 nits juga bermaksud skrin ini boleh dilihat dengan mudah walaupun di bawah sinaran matahari.

    Walaupun stilus S Pen mempunyai fungsi yang serupa dengan Galaxy Note20 Ultra sebelum ini seperti Air Actions, alat kawalan jauh S Pen dan lain-lain) Samsung telah mengurangkan tindak balas (latency) daripada 9ms kepada 2.8ms sahaja. Penulis merasakan pengalaman menulis di atasnya memang rasa serupa dengan menulis di atas kertas.

    Antara muka Samsung OneUI dan menu S Pen
    S Pen anda boleh dilaraskan untuk pelbagai tetapan dalam Galaxy S22 Ultra

    Fungsi S Pen lain seperti Air Actions masih berada di sini jadi anda boleh kawal Galaxy S22 Ultra anda dengan stilus S Pen. Seluruh pengalaman penggunaanya boleh dilaraskan jadi apabila ia digabungkan dengan cerminan skrin wayarles (wireless screen mirroring) dan Samsung DeX, anda boleh lakukan pembentangan di hadapan audiens dengan menggunakan S22 Ultra seperti komputer riba dan S Pen sebagai penunjuk (pointer).

    Walaupun Galaxy S22 Ultra ditawarkan dengan storan dalaman sehingga 1TB di pasaran antarabangsa, untuk pasaran Malaysia ia hanya ditawarkan sehingga 512GB sahaja. Sungguh pun begitu, penulis berpendapat bahawa ini sudah cukup untuk menyimpan pelbagai fail besar seperti rakaman 4K. Selain itu, terdapat juga ruang dwi-kad SIM namun tiada ruang untuk kad memori microSD.

    Aplikasi suntingan gambar yang disediakan menawarkan pelbagai fungsi menarik
    Pelbagai fungsi kamera

    Untuk kamera, di belakang ia terdapat kamera utama 108MP, kamera ultra-lebar 12MP, kamera telefoto 10MP dan kamera telefoto periskop 10MP manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 40MP. Fungsi baru termasuklah pelarasan format RAW (anda perlu memuat turun aplikasi Expert RAW), AI Autoframe yang melaraskan kadar bingkai bergantung kepada kecerahan situasi dan AI Autoframing yang akan memastikan subjek anda kekal dalam kamera sewaktu merakam. Video boleh dirakam dengan resolusi 8K namun hanya pada kadar 24fps untuk kamera depan dan belakang, manakala rakaman 4K boleh dibuat dengan kadar 60fps bersama penstabilan.

    Selain menawarkan mod gerak perlahan (slow motion) sehingga 960fps pada resolusi HD dan 240fps pada resolusi FullHD, kamera ini turut mempunyai fungsi Space Zoom 100x. Samsung telah melengkapkan teknologi Adaptive Pixel, fungsi Detail Enhancer dan Night Mode yang diperbaharui. Kamera swafoto 40MP pula ditawarkan bersama sensor baharu dan boleh digunakan bersama mod Potret untuk swafoto dengan latar belakang kabur kemas walaupun dalam situasi malap.

    Bateri 5,000mAh dalam Galaxy S22 Ultra boleh menyokong pengecasan pantas 45W namun anda perlu membeli pengecas yang boleh menyediakan kadar pengecasan itu. Untuk pengecasan wayarles, anda boleh cas peranti lain yang mempunyai pengecasan Qi seperti Galaxy Buds 2 melalui fungsi PowerShare dalam S22 Ultra.

    Masih terdapat baki 40% walaupun selepas penggunaan selama sehari

    Daripada segi komunikasi, ia menyokong rangkaian 5G dan WiFi 6. Perhubungan berwayar hanya boleh dilakukan melalui port USB-C di bahagian bawah.

    Prestasi – #1 untuk segala tugas

    Dengan cipset Snapdragon 8 Gen 1 dan RAM 12GB, penulis berjaya mencapai nombor satu dalam setiap penanda aras yang kami lakukan. Selain itu, ia juga boleh memainkan game Genshin Impact pada kadar 60 fps dengan tetapan grafik tertinggi tanpa jadi terlalu panas (generasi Galaxy S sebelum ini sering menjadi panas selepas tempoh masa tertentu) jadi anda boleh mainkan sebarang game atau aplikasi dalam S22 Ultra.

    Walaupun terdapat laporan mengatakan Snapdragon 8 Gen 1 mempunyai isu terlalu panas (overheating), penulis tidak pernah mengalaminya sepanjang menggunakan telefon pintar ini walaupun dalam tempoh yang lama.

    Markah sangat tinggi dalam GeekBench dan 3DMark

    Penulis juga tidak meminati sisi skrin melengkung pada skrin Galaxy S22 Ultra kerana ia tidak menyumbang apa-apa terhadap produktiviti, namun skrin Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.8 inci ini masih nampak sangat cantik berbanding telefon-telefon lain. Audio daripada pembesar suaranya pula sangat kuat untuk untuk memenuhi bilik dan kualitinya amat jelas.

    Hayat bateri juga sangat bagus, di mana pengecasan penuh boleh bertahan selama sehari setengah untuk penggunaan berat. Biasanya, selepas saya menggunakannya selama sehari, masih terdapat baki 30% ke 40% dalam baterinya pada waktu malam. Penulis tidak sempat menguji pengecasan pantas 45W, namun dengan pengecas 25W sahaja, baterinya boleh dicas penuh dalam masa sekitar sejam.

    Lukisan ini dibuat menggunakan PENUP dan stilus S Pen Galaxy S22 Ultra

    Beralih kepada kamera, S22 Ultra amat mengagumkan penulis kerana ia boleh mengambil gambar dan video dalam pelbagai situasi tanpa sebarang masalah, lebih-lebih lagi dalam situasi cahaya malap. Sungguh pun begitu, mutu penstabilannya jatuh sedikit jika tiada cahaya yang mencukupi. Night Mode yang diperbaharui juga menghasilkan gambar yang cantik namun kadang-kala ia boleh jadi terlalu terang (overexpose) dengan noise yang ketara.

    Dengan fungsi AI Edit dalam Photo Remastering, penulis mendapati ia berkesan dalam keadaan tertentu tapi dalam kebanyakan waktu ia hanyalah mengenakan auto tones pada gambar asal. Ada waktunya, ia boleh mencantikkan gambar yang diambil pada waktu malap namun jika gambar tersebut masih tidak mempunyai sumber cahaya yang cukup, fungsi ini akan menghasilkan lebih banyak noise dalam gambar. Jika anda ingin menggunakan format RAW, anda perlu memuat turun aplikasi Expert RAW daripada Samsung Galaxy Store. Setakat ini, aplikasi itu hanya dihadkan untuk Galaxy S22 Ultra.

    Untuk Auto Framing pula, ia boleh mengekalkan subjek di bahagian tengah skrin namun ia berfungsi dengan agak lambat. Ia berfungsi lebih baik dengan wajah atau objek bergerak, namun penulis lebih menggemarinya jika tetapan Auto Framing boleh dilaras dengan lebih lanjut. Mungkin selepas ini, Auto Framing boleh ditetapkan mengikut garisan Rule of Thirds atau lain-lain teknik fotografi seperti The Golden Ratio, Fibonacci Spiral, Leading Lines dan lain-lain.

    Sungguh pun begitu, penggemar vlog di kalangan TechNave mengatakan Auto Framing ini amat bernilai untuk mereka yang sering melakukan rakaman secara bersendirian. Ini bermaksud anda boleh letakkan S22 Ultra di atas tripod, kemudian anda boleh bergerak di hadapan kamera dan Auto Framing akan pastikan anda akan kekal di bahagian tengah bingkai (frame).

    Adakah S22 Ultra boleh digunakan sebagai sebuah studio multimedia? Lihat sahaja video gaming di atas, kami boleh menghasilkan video ini sepenuhnya di dalam S22 Ultra menggunakan penyunting video yang disediakan dalam S22 Ultra. Ulasan yang anda baca ini juga telah ditulis menggunakan Google Docs melalui Samsung DeX. Anda boleh menyunting video dengan efek transition, kelajuan dan gerakan teks namun Samsung tidak menyediakan sebarang tutorial untuknya.

    Sebagai seseorang yang selalu menggunakan telefon pintar untuk menyunting video, Samsung Video Editor bukanlah pengganti yang lengkap kepada penyunting video khas seperti aplikasi Cyberlink PowerDirector, namun jika dibandingkan dengan aplikasi percuma yang lain, Samsung Video Editor adalah antara yang terbaik. Photo Editor dalam Gallery juga menawarkan fungsi bagus dan boleh berfungsi dalam Samsung DeX, jadi saya mengharapkan Samsung akan terus menambah baik kedua-dua fungsi multimedia ini.

    Kesimpulan – Telefon pintar Samsung terbaik buat masa ini… untuk penggemar Note

    Secara amnya, Samsung Galaxy S22 Ultra 5G adalah sebuah peranti mantap daripada segi fungsi dan prestasi, dan ia boleh mengalahkan sebarang telefon pintar Android di luar sana. Penulis sebenarnya lebih gemar jika ia berkongsi rupa dengan varian lain dalam siri Galaxy S22, namun ini mungkin adalah langkah Samsung untuk memuaskan hati para pelanggan yang mengiginkan sebuah Galaxy Note pada 2021.

    Dalam pada itu, saya amat mengesyorkan S22 Ultra untuk pengguna Galaxy Note20 Ultra dan ke bawah. Harga RM5,099 untuk varian 8GB+128GB memang sangat mahal, namun penulis berpendapat bahawa jika anda sanggup berbelanja sebanyak RM5,000 untuk sebuah telefon, lebih baik dapatkan terus varian 12GB+512GB yang berharga RM5,899 supaya ia boleh menangani lebih banyak tugas pada masa akan datang.

    Pada harga ini, tidak banyak telefon yang boleh menyaingi Galaxy S22 Ultra, lebih-lebih lagi dengan stilus S Pen yang turut disertakan dalam telefon ini. Jika anda inginkan alternatif yang lebih murah, Samsung Galaxy Note20 Ultra 5G masih boleh dibeli sekarang pada harga RM3,689 dan ia turut disertakan dengan pengecas dan aksesori tambahan, namun kemas kini Android untuknya mungkin akan tamat dalam masa terdekat memandangkan ia adalah sebuah peranti yang dilancar pada 2020.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Blackview Hero 10 mungkin jadi telefon boleh lipat paling murah di dunia

    nubia Flip 5G yang dilancarkan awal bulan ini dengan harga RM2,499 merupakan telefon boleh lipat paling murah dalam pasaran. Namun, itu tidak...

    Maybank bakal gantikan pemberitahuan SMS kepada pop timbul aplikasi bermula 22 April ini

    Maybank mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan dasar pemberitahuan baharu mulai 22 April 2024 dan akan menggunakan pemberitahuan pop timbul aplikasi (APP) untuk...

    Polis: Orang ramai diingatkan berwaspada tentang kecurian data menggunakan kod QR

    Polis memberi amaran kepada orang ramai tentang strategi pancingan data baharu di mana penipu menyampaikan hadiah seperti botol air dengan kod QR...

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X