Site icon TechNave BM

CIMB akan tamatkan penggunaan kata laluan sekali (OTP) dan kod pengesahan transaksi (TAC)

CIMB Bank mengumumkan bahawa mereka akan mula menamatkan penggunaan mesej SMS yang memberikan kata laluan sekali (one-time password, OTP) dan kod pengesahan transaksi (transaction authorisation code, TAC) dalam perbankan dalam talian bagi menyediakan keselamatan tertinggi untuk para pengguna.

Bagi menggantikan sistem tersebut, CIMB akan menetapkan penggunaan pengesahan secara SecureTAC menjelang separuh pertama 2023. Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad, bagi mengulas kaedah keselamatan yang dipertingkat untuk menangani penipuan dalam talian.

Selain itu, CIMB akan mempercepatkan langkah bagi mengehadkan pelanggan kepada hanya satu peranti mudah alih untuk kegunaan perbankan dalam talian. Fungsi ini dirancang untuk diperkenalkan pada akhir Oktober 2022.

CIMB juga akan memperkenalkan satu langkah kawalan tambahan, iaitu proses pengesahan panggilan balik bagi semua pendaftaran perbankan dalam talian dan pengaktifan peranti baharu. Mereka turut memperkenalkan tempoh bertenang sebagai langkah perlindungan tambahan buat pendaftaran kali pertama untuk perbankan dalam talian serta pendaftaran peranti.

Semua langkah ini telah diutarakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal minggu ini bagi membanteras kes penipuan dalam talian yang semakin meningkat pada waktu ini. CIMB menyokong penuh terhadap cadangan-cadangan daripada BNM itu dan akan melaksanakannya apabila tiba masa yang sesuai.

Baru-baru ini, Maybank juga telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan penggunaan kod OTP dan menggantikannya dengan Secure2U bermula Jun 2023.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version