Site icon TechNave BM

Cip M4 Apple mungkin akan memfokuskan teknologi AI

Apple kini sedang bersiap sedia untuk melancarkan siri cipset komputer riba MacBook untuk generasi yang seterusnya iaitu Apple M4. Menurut pakar Apple daripada media Bloomberg, Mark Gurman, siri cip M4 akan memfokuskan pada kebolehan kecerdasan buatan (AI).

Beliau mengatakan komputer-komputer Mac pertama dengan cip M4 akan mula dijual pada akhir tahun ini, kemudian komputer seterusnya akan dijual pada awal tahun hadapan. Antara produk yang dijangka akan dilancar pada akhir tahun ini termasuklah MacBook Pro 14 inci, MacBook Pro 16 inci dan Mac mini.

Ini bermaksud MacBook Pro bakal mengikuti kitaran pelancaran setiap tahun seperti yang diamalkan untuk iPhone. Pada tahun hadapan pula, MacBook Air 13 inci dan MacBook Air 15 inci akan dilancar sekitar suku kedua 2025, Mac Studio pada pertengahan tahun kemudian Mac Pro pada lewat 2025.

Apple juga akan mengetengahkan fungsi pemprosesan AI untuk cipset M4 dan sistem operasi macOS seterusnya dalam acara Worldwide Developers Conference (WWDC) yang akan berlangsung pada bulan Jun. Cip M4 asas akan dilengkapkan dalam MacBook Pro, MacBook Air dan Mac mini, manakala cip M4 kelas pertengahan akan dilengkapkan dalam MacBook Pro dan Mac Mini untuk varian yang lebih atas. Cip M4 kelas tertinggi akan dilengkapkan dalam Mac Pro.

Gurman turut mengatakan Apple akan menggalakkan kebolehan AI merentas semua produknya. Mereka bakal mengikuti trend pelbagai syarikat teknologi pada tahun ini, di mana setiap hampir peranti didatangkan dengan fungsi AI seperti Galaxy AI dalam siri Samsung Galaxy S24.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bloomberg

Exit mobile version