Site icon TechNave BM

Cipset Snapdragon 8 Gen 1+ mungkin ditangguh ke separuh kedua 2022

Syarikat semikonduktor Qualcomm dijangka bakal melancarkan cipset telefon pintar andalan Snapdragon 8 Gen 1+ (SM8475) pada bulan Mei 2022, namun kini ia mungkin ditangguh ke separuh kedua 2022.

Menurut pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station, penangguhan ini adalah berikutan daripada situasi wabak COVID-19 di China yang menyaksikan beberapa wilayah negara itu diletakkan bawah kuarantin. Kerajaan negara itu tidak ingin meningkatkan jumlah jangkitan dan tidak akan melonggarkan perintah kuarantin dalam masa terdekat.

Apabila Snapdragon 8 Gen 1+ dilancar kelak, telefon pertama yang dilancar dengan cipset tersebut mungkin adalah Motorola Edge 30 Ultra. Sewaktu Snapdragon 8 Gen 1 mula diperkenalkan pada Disember 2021, telefon pertama yang dilengkapi cipset tersebut adalah Motorola Edge 30 Pro jadi perkara sama mungkin akan berulang untuk cipset kedua ini.

Snapdragon 8 Gen 1+ dijangka akan mempunyai prestasi grafik yang lebih pantas manakala kelajuan CPU masih kekal dengan satu teras Cortex-X2, tiga teras prestasi Cortex-A710 dan empat teras kecekapan Cortex-A510.

Qualcomm sering melancarkan siri cipset telefon pintar andalan Plus pada separuh kedua tahunan. Sebagai contoh untuk cipset andalan sebelum ini iaitu Snapdragon 888, ia dilancar pada Disember 2020 manakala varian Snapdragon 888+ dilancar pada bulan Jun 2021.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version