Jenama peranti mampu milik yang berada bawah naungan Nothing, CMF by Nothing, akan melancarkan telefon pintarnya yang pertama iaitu CMF Phone 1 pada hari Isnin, 8 Julai 2024 jam 10:00 pagi BST (5:00 petang waktu Malaysia).
CMF masih belum berkongsi sebarang maklumat mengenai telefon tersebut, namun sebuah poster acahan (teaser) menunjukkan tiga bulatan, jadi kita boleh andaikan bahawa telefon tersebut akan mempunyai tiga kamera di belakang. Ini adalah serupa seperti beberapa telefon kelas pertengahan jenama lain contohnya Samsung Galaxy A35 5G.
Sebelum ini, sebuah poster acahan juga menunjukkan sebuah tombol bulatan yang mungkin berada di bahagian bucu telefon tersebut.
Selain telefon, CMF juga akan melancarkan dua peranti aksesori iaitu CMF Watch Pro 2 dan CMF Buds Pro 2. Ini merupakan jam tangan pintar dan fon telinga wayarles generasi kedua oleh CMF, selepas generasi pertama dilancarkan pada September 2023 lalu.
Selain jam tangan pintar dan fon telinga wayarles, CMF juga telah melancarkan fon telinga yang boleh dipakai di leher iaitu CMF Neckband Pro.
CMF masih belum mengesahkan jika telefon ini akan dilancar untuk pasaran Malaysia. Memandangkan semua produk CMF yang dilancar setakat ini sudah dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan, besar kemungkinan CMF Phone 1 juga akan dijual untuk para pelanggan Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

