Mulai 1 Jan 2026, struktur cukai jalan yang baharu diperkenalkan yang disesuaikan untuk kenderaan elektrik (EV) akan berkuat kuasa. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan bahawa purata kadar cukai jalan EV akan menyaksikan pengurangan ketara sehingga 85 peratus berbanding kadar semasa untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Cukai ini akan meningkat selari dengan peningkatan kuasa motor elektrik yang biasanya mencerminkan peningkatan dalam harga pembelian, saiz, segmen dan berat kenderaan.
Tambahnya, setiap lima tahun kerajaan akan mengkaji kadar tersebut untuk memastikan peralihan yang lancar kepada kenderaan sifar pelepasan karbon dan mengurangkan sebarang kesan mendadak terhadap hasil kerajaan.
Prinsip asas cukai jalan EV memperincikan sistem berasaskan blok yang dikategorikan mengikut julat kuasa motor dengan setiap blok mempunyai kadar fi Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) minimum dan maksimum.
Sebagai contoh, blok 1 merangkumi ZEV dengan kuasa motor antara 1 watt hingga 100,000 watt manakala blok 2 meliputi ZEV dengan kuasa motor daripada 100,001 watt hingga 210,000 watt.
Dalam setiap blok, cukai LKM meningkat secara berperingkat dengan setiap kenaikan 9,999 watt dalam kuasa motor. Contoh lain, BYD Dolphin dengan kapasiti 130kW hanya akan dikenakan cukai RM120 jauh lebih rendah daripada cukai LKM sedia ada sebanyak RM624. Tesla Model Y dengan kapasiti 220kW cukainya ialah RM305 berbanding cukai LKM semasa sebanyak RM2,583.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak lama lagi akan mengumumkan kadar cukai untuk segmen EV dan menekankan komitmen untuk memajukan inisiatif pengangkutan mampan.Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: NST

