DeepSeek mengumumkan peraturan baharu di China yang mewajibkan semua kandungan dijana AI di platform mereka dilabel dengan jelas sebagai bukan buatan manusia. Peraturan ini diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan kandungan AI dan mengelakkan ia disalahgunakan. Setiap kandungan AI mesti disertakan tanda yang jelas selain penanda tersembunyi dalam data teknikal.
Antara contoh penanda jelas ialah teks “AI-generated”, pengumuman audio atau grafik khas. Manakala penanda tersembunyi mengandungi maklumat seperti jenis kandungan, syarikat yang menghasilkan dan nombor ID unik. Pengguna dilarang sama sekali mengubah, memadam atau memalsukan label ini.
Malah, sebarang penggunaan alat untuk menipu sistem label turut diharamkan. Mereka yang melanggar peraturan boleh berdepan tindakan undang-undang. Bagi menyokong langkah ini, DeepSeek turut menerbitkan panduan teknikal terperinci yang menerangkan cara model AI mereka dilatih, jenis data yang digunakan dan proses menghasilkan kandungan.
Peraturan baharu ini selaras dengan garis panduan kerajaan China yang menetapkan semua kandungan AI mesti mempunyai label yang boleh dikesan serta tidak boleh diusik. Penyedia perkhidmatan AI juga bertanggungjawab memastikan pematuhan peraturan tersebut.
DeepSeek turut melancarkan model V3.1 dengan keupayaan 128K token context dan 685 bilion parameter yang menggabungkan tugasan penaakulan serta umum dalam satu model. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ITHome

