Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan rasa kecewa terhadap platform media sosial utama seperti X (dahulu Twitter) dan Meta kerana didakwa gagal menangani isu buli siber dan penipuan dalam talian secara berkesan di Malaysia.
Beliau berkata, meskipun kerajaan telah mengadakan lebih 20 perbincangan dengan penyedia platform terbabit, tindakan yang diambil masih lemah dan bersifat reaktif. X paling rendah kadar pematuhan terhadap undang-undang Malaysia dengan hanya 25 peratus jika dibandingkan dengan Instagram (88%), Facebook (85%) dan WhatsApp (79%).
Fahmi juga mendedahkan bahawa rakyat Malaysia kerugian lebih RM432 juta pada 2023 akibat penipuan menerusi Facebook manakala aduan buli siber yang diterima MCMC meningkat kepada 27 kes sehari pada tahun lalu.
Sebagai langkah balas, kerajaan bakal menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian, selain memperkenalkan pelesenan wajib bagi platform yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia, berkuat kuasa Januari 2025. Meta sebelum ini membantah langkah tersebut atas alasan kekurangan kejelasan dan potensi mengekang inovasi digital.
Namun, Fahmi menegaskan bahawa keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak, harus diutamakan. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: FMT

