Syarikat logistik dan penghantaran Flash Express (Malaysia) Sdn Bhd dilaporkan bakal menamatkan seluruh operasinya di negara ini secara rasmi bermula tahun hadapan. Keputusan mengejutkan ini menyaksikan syarikat kurier yang berasal dari Thailand tersebut akan menghentikan penerimaan sebarang pesanan penghantaran baharu bermula 15 Januari 2026, sebelum menutup operasi sepenuhnya pada 31 Januari 2026.
Langkah ini diambil susulan cabaran persekitaran pasaran yang sangat kompetitif selain kos operasi yang tinggi serta kerugian berterusan yang dihadapi dalam pasaran tempatan. Sepanjang tempoh peralihan ini, Flash Express komited untuk menyelesaikan baki penghantaran sedia ada dan memastikan semua bungkusan yang diambil sebelum tarikh akhir 15 Januari diproses sehingga sampai ke tangan penerima.
Pihak syarikat juga memaklumkan bahawa baki tempoh operasi tersebut akan digunakan untuk urusan penyelesaian akaun pelanggan, penjejakan bungkusan terakhir serta memberikan sokongan berkaitan penutupan kepada pihak berkepentingan. Walaupun operasi di Malaysia bakal berakhir, pengurusan syarikat menegaskan bahawa perkhidmatan Flash Express di negara-negara lain tidak akan terjejas dan akan diteruskan seperti biasa.
Penutupan ini merupakan satu perkembangan besar dalam industri logistik tempatan memandangkan Flash Express pernah mencatatkan sejarah sebagai syarikat pemula (startup) pertama dari Thailand yang mencapai status unicorn dengan penilaian melebihi USD1 bilion.
Para peniaga e-dagang dan pengguna kini disarankan untuk mula beralih kepada alternatif perkhidmatan kurier lain bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap urusan penghantaran barangan di masa hadapan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Easy Parcel

