Site icon TechNave BM

Gambar PlayStation 5 dibocorkan, nampak lebih besar daripada konsol lain

Sony sudah pun umumkan PlayStation 5 pada minggu lepas dengan rupa bentuk konsol tersebut, namun kita masih tidak dapat memastikan saiznya. Kini sebuah gambar perbandingan saiz konsol tersebut dengan konsol-konsol lain telah pun dimuat naik.

Menurut ITHome, sebuah gambar PS5 telah dimuat naik ke sebuah forum komuniti di Jepun. Dalam gambar tersebut, PS5 telah diletakkan bersebelahan Xbox One dan Nintendo Switch Lite untuk dibandingkan saiznya.

Nampaknya saiz PS5 ini lebih besar berbanding Xbox One. Memandangkan saiz PlayStation 4 Pro adalah lebih kurang sama dengan Xbox One, kita boleh andaikan PS5 adalah PlayStation yang paling besar dalam sejarah konsol tersebut.

Selain itu, kita juga boleh melihat port USB Type-A dan Type-C di bahagian hadapan serta ruang pengudaraan di antara badan utama PS5 dengan lapisan luaran yang berwarna putih.

Media IGN pula membuat tekaan terhadap saiz PS5 berdasarkan saiz ruang cakera padat yang terdapat pada konsol tersebut dan telah membuat carta perbandingan saiz dengan konsol lain.

Apakah pendapat anda tentang saiz PS5 ini? Kongsikannya di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ITHome, IGN

Exit mobile version