Site icon TechNave BM

Google akan bawa sokongan AirDrop ke lebih banyak peranti Android

Google mengesahkan sokongan penghantaran fail antara Android dan peranti Apple melalui AirDrop akan diperluaskan kepada lebih banyak peranti Android dan tidak lagi terhad kepada siri Pixel 10 sahaja. Sebelum ini, integrasi antara sistem Quick Share milik Google dan AirDrop Apple hanya tersedia pada peranti Pixel 10 dan ia mula diperkenalkan pada November 2025.

Bagaimanapun, Google menjelaskan bahawa sokongan terhad kepada Pixel 10 bukanlah perancangan jangka panjang. Google telah membangunkan sistem tersebut supaya serasi bukan sahaja dengan iPhone, malah turut menyokong iPad dan MacBook.

Selepas keserasian tersebut dibuktikan, Google kini bekerjasama dengan rakan ekosistem untuk memperluaskan fungsi itu ke peranti Android lain dengan kemas kini disasarkan untuk dilancarkan dalam tahun ini. Google bagaimanapun masih belum mendedahkan tarikh pelaksanaan khusus atau senarai peranti Android yang akan menerima sokongan.

Selain itu, pengeluar cip Qualcomm serta jenama telefon Nothing turut mengesahkan sebelum ini bahawa mereka sedang mengusahakan sokongan fungsi penghantaran fail rentas platform tersebut pada perkakasan masing-masing.

Dengan pengesahan rasmi daripada Google, sokongan AirDrop merentas Android kini hanya menunggu masa untuk diperluaskan ke seluruh ekosistem peranti Android. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Police

Exit mobile version