Google telah memperkenalkan ciri baharu dinamakan Video Remix dalam aplikasi Google Photos. Ciri ini membolehkan pengguna melakukan suntingan video secara automatik melalui bantuan model kecerdasan buatan, Gemini Omni. Untuk menggunakannya, ia terletak bawah tab Create dalam Google Photos.
Pengguna boleh memilih daripada koleksi templat yang disediakan untuk mengubah suai video seperti menambah filter cat air, melaraskan pencahayaan pada babak gelap atau menukar latar belakang video asal. Google mengatakan bahawa proses penjanaan video yang disunting hanya mengambil masa beberapa saat sahaja.
Gemini Omni merupakan model AI yang direka untuk memahami input yang lebih luas serta simulasi fizik seperti graviti dan tenaga kinetik bagi menghasilkan visual yang lebih realistik. Selain itu, ciri ini membolehkan pengguna memasukkan avatar digital diri sendiri ke dalam video di mana setiap hasil suntingan akan ditanda air menggunakan alat SynthID keluaran Google.
Ciri Video Remix ini sudah mula diedarkan kepada pengguna pelan langganan Google AI Plus, Pro dan Ultra bermula hari ini. Untuk pengguna di Malaysia, nantikan kemas kini yang akan diedarkan secara berperingkat. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google

