Google telah mengeluarkan pengacah rasmi untuk acara tahunan Made by Google yang bakal berlangsung pada 20 Ogos 2025 di New York. Ini sekali gus mengesahkan pelancaran siri Pixel 10 termasuk Pixel 10 Pro Fold, Pixel Watch generasi baharu dan Pixel Buds.
Dalam video pendek berdurasi 30 saat, Google mempamerkan sekilas rekaan Pixel 10 Pro Fold yang menampilkan engsel kemas dengan sisi rata serta sudut bulat. Reka bentuknya kelihatan mengekalkan rekaan model Fold tahun lalu, namun dengan beberapa penambahbaikan.
Peranti ini dilaporkan hadir dengan paparan OLED 120Hz untuk skrin dalam 8 inci dan luar 6.4 inci, kecerahan sehingga 3,000 nits, cip Tensor G5, RAM hingga 16GB dan storan UFS 4.0 hingga 1TB. Kamera utama mengekalkan tiga lensa iaitu 48MP (utama), 10.5MP (ultra lebar) dan 10.8MP telefoto 5x.
Ia turut dibekalkan bateri 5,015mAh dengan pengecasan pantas berwayar dan wayarles serta mungkin menjadi telefon lipat pertama Google dengan sijil IP68. Google dijangka memberi tumpuan kepada ciri berasaskan AI termasuk fotografi pintar, pengeditan suara “Speak-to-Tweak” dan fungsi baharu Pixel Sense.
Pengacah juga memperlihatkan keupayaan AI foto menambah orang ke dalam gambar selepas dirakam. Selain Pixel 10 Pro Fold, pelancaran ini turut merangkumi Pixel 10, Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL serta aksesori Pixelsnap. Acara akan disiarkan secara langsung di YouTube pada 1 pagi 21 Ogos waktu Malaysia.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

