Google mengumumkan bahawa Android Instant Apps akan dihentikan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025. Ciri ini sebelum ini diperkenalkan bagi membolehkan pengguna mencuba sebahagian fungsi sesebuah aplikasi mudah alih tanpa perlu memasang keseluruhan aplikasi terlebih dahulu.
Melalui Instant Apps, pengguna dapat menikmati kandungan dengan lebih pantas sambil menjimatkan penggunaan data dan ruang storan, sekali gus memberikan pengalaman mudah alih yang lebih optimum. Ciri ini juga direka untuk mengurangkan kerumitan pengguna yang tidak mahu memasang aplikasi baharu semata-mata untuk mencuba sesuatu perkhidmatan.
Namun, sejak ia dilancarkan, sokongan terhadap fungsi ini sangat terhad kerana tidak ramai pembangun yang menggunakannya. Kekurangan sambutan daripada komuniti pembangun aplikasi menjadi antara faktor utama Google mengambil keputusan untuk menamatkan sokongan terhadap Android Instant Apps sepenuhnya pada penghujung 2025.
Langkah ini menandakan satu perubahan dalam strategi Google terhadap pengalaman aplikasi mudah alih dan pengguna dijangka perlu memasang aplikasi penuh seperti biasa selepas ini untuk mencuba perkhidmatan baharu. Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Android Authority

