Google mengumumkan set ciri AI baharu untuk Android menerusi platform Gemini Intelligence dengan fokus menjadikan telefon lebih automatik dalam mengurus tugasan harian pengguna. Ciri ini akan mula diperkenalkan pada Samsung Galaxy S26 dan Google Pixel 10 sebelum diperluaskan ke lebih banyak peranti Android lain.
Antara fungsi utama ialah kemampuan Gemini untuk mengendalikan aplikasi secara automatik seperti membuat tempahan kelas senaman, membeli barang dapur dan mengurus pembelian terus dari telefon. Google juga memperlihatkan fungsi baharu yang membolehkan pengguna menekan lama butang kuasa pada tangkap layar senarai barang dapur sebelum Gemini terus membina troli pembelian secara automatik.
Chrome untuk Android juga bakal menerima ciri auto browse bermula Jun ini bagi membantu tugasan rutin seperti tempahan parkir manakala Autofill Android kini lebih pintar dengan kemampuan memahami konteks aplikasi untuk mengisi borang secara automatik.
Selain itu, Gboard menerima ciri baharu dipanggil Rambler yang membersihkan rakaman suara sebelum ditukar kepada teks termasuk membuang perkataan pengisi, jeda dan pertukaran bahasa tidak sengaja. Google turut memperkenalkan sistem penjana widget berasaskan teks yang membolehkan pengguna mencipta widget khas hanya melalui arahan ringkas.
Untuk privasi, semua ciri Gemini Intelligence adalah “opt-in” dan pengguna boleh melihat aktiviti AI menerusi Android Privacy Dashboard. Android juga akan memaparkan notifikasi kekal ketika AI menjalankan tugasan di latar belakang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google

