HONOR 200 Lite 5G yang baharu akan memasuki pasaran Malaysia pada 26 Julai ini dengan harga hanya RM1,299, menjadikannya antara telefon pintar berkeupayaan 5G paling mampu milik dalam julat harganya. Model ini bukan sahaja menawarkan kapasiti storan sebesar 512GB yang merupakan dua kali ganda berbanding HONOR 90 Lite, tetapi juga dilengkapi dengan paparan lebih tahan lasak.
HONOR 200 Lite menampilkan skrin super ultra kukuh dan disertakan dengan pelan Penggantian Skrin Depan & Belakang 365 Hari percuma bagi meningkatkan ketahanan dan nilai telefon pintar ini. Untuk pengalaman tontonan, telefon ini menampilkan paparan AMOLED 6.7 inci dengan pemalapan PWM Bebas Risiko 3,240Hz untuk tontonan yang bebas kerlipan.
Peranti ini dilengkapi dengan kamera utama 108MP dan kamera swafoto 50MP untuk menangkap gambar yang berkualiti. Dengan bateri berkapasiti 4,500mAh, pengguna boleh menikmati penggunaan sepanjang hari tanpa risau mengenai kehabisan bateri.
HONOR 200 Lite juga dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 6080 yang lancar, membawa sistem operasi Magic OS berdasarkan Android 14 serta Magic AI Experience yang meningkatkan kefungsian dan keupayaan pengimejan.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai HONOR 200 Lite, anda boleh mengikuti akaun Facebook rasmi dan laman web rasmi HONOR Malaysia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

