Site icon TechNave BM

HONOR Magic V2 5G akan dilancar di Malaysia pada 16 Januari 2024

HONOR Malaysia telah mengumumkan bahawa telefon pintar lipat HONOR Magic V2 5G akan dilancar pada hari Selasa, 16 Januari 2024 jam 8:00 malam. Anda boleh tonton pelancarannya pada waktu tersebut dalam laman Facebook HONOR Malaysia dan anda berpeluang memenangi jam tangan HONOR Watch 4.

Telefon lipat ini sebenarnya sudah pun dilancar untuk pasaran China pada September 2023 dan kini para peminat HONOR tempatan berpeluang untuk membeli peranti unik ini. HONOR mengatakan Magic V2 5G adalah telefon lipat yang ternipis dalam dunia, di mana ia mempunyai ketebalan 9.9mm sahaja apabila dilipat. Sebagai rujukan, HONOR Magic V sebelum ini mempunyai ketebalan 14.3mm apabila dilipat.

Ini membuatkan Magic V2 5G rasa seperti telefon biasa apabila dipegang. Apabila skrinnya dibuka pula, ia mempunyai ketebalan 4.8mm sahaja.

Ia mempunyai skrin utama berukuran 7.92 inci dengan panel LTPO OLED, resolusi 2156×2344, kadar segar semula 120Hz, sokongan HDR10+ dan kecerahan puncak sehingga 1,600 nits. Skrin luarannya pula berukuran 6.43 inci dengan resolusi 1060×2376, manakala ciri-ciri lain masih sama dengan skrin utama.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, bateri 5,000mAh, pengecasan pantas 66W dan pengecasan berbalik 5W. Malang sekali, ia tidak menyokong teknologi pengecasan wayarles.

Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto 20MP dan kamera ultra-lebar 50MP, manakala kamera hadapan pula adalah kamera 16MP. Ia menyokong rakaman video sehingga 4K 60fps dengan penstabilan imej optikal.

Setakat ini varian memori yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version