Site icon TechNave BM

HONOR MagicPad 3 dilancar: Skrin 13.3″ 165Hz, bateri 12,450mAh bermula ~RM1,770

HONOR telah memperkenalkan tablet andalan (flagship) terbaru di China iaitu HONOR MagicPad 3. Tablet ini mempunyai skrin LCD yang agak besar berukuran 13.3 inci dengan kadar segar semula 165Hz, nisbah skrin-ke-badan sebanyak 91%, kecerahan puncak 1,000 nits dan sokongan IMAX Enhanced.

Ia mempunyai rekaan yang nipis dan ringan, dengan berat 595 gram sahaja dan kenipisan 5.79mm. Ia turut mempunyai lapan pembesar suara dan port USB 3.2 Gen 1 Type-C yang menyokong fungsi DisplayPort 1.2.

Spesifikasi dalamannya pula terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, bateri besar berkapasiti 12,450mAh dan pengecasan pantas 66W. HONOR mengatakan tablet ini boleh memainkan video selama 16 jam daripada pengecasan penuh.

Untuk kamera, ia mempunyai kamera utama 13PM dan kamera makro 2MP di belakang, manakala di hadapan pula terdapat kamera 9MP.

HONOR MagicPad 3 akan dijual di China pada harga bermula CNY2,999 (~RM1,770) untuk varian memori 8GB+256GB. Tablet ini telah dilancar bersama HONOR Magic V5 baru-baru ini dan setakat ini masih tiada maklumat jika ia akan turut dilancar dalam pasaran Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: HONOR China

Exit mobile version