HONOR telah melancarkan model baharu Play 70 Plus di China, sebuah telefon pintar 5G kelas pertengahan yang dilengkapi cipset Snapdragon 6s Gen 3 dan bateri besar 7,000mAh. Peranti ini dibina dengan ketahanan tinggi, menerima pensijilan rintangan jatuh lima bintang dan penarafan IP65 untuk kalis air dan habuk.
Ia menampilkan skrin LCD 6.77 inci dengan resolusi HD+, kadar segar semula 120Hz dan mod perlindungan mata termasuk mod cahaya semula jadi. Telefon ini juga hadir dengan sensor cap jari di sisi dan butang AI khusus untuk akses pantas kepada fungsi seperti pembersihan memori, pelarasan kecerahan, dan semakan penghantaran. Di bahagian kamera, Play 70 Plus menawarkan kamera utama 50MP dengan ciri AI seperti buang objek, peluasan imej dan pembetulan mata.
Ia turut dilengkapi pembesar suara stereo berkembar dengan tahap bunyi sehingga 400%, menyokong NFC berbilang senario dan pengecasan berbalik. Sistem operasinya berasaskan Magic OS 9.0 berteraskan Android 15. HONOR Play 70 Plus ditawarkan dalam tiga varian termasuk 8GB+256GB pada 1,199 Yuan (~RM900), 12GB+256GB berharga 1,399 Yuan (~RM1,050) dan 12GB+512GB pada 1,599 Yuan (~RM1,200) dengan pilihan warna biru, hitam, merah jambu dan putih.
Sementara itu, laporan terkini menyebut bahawa HONOR bakal melancarkan model HONOR 400 Smart dan HONOR X7d untuk pasaran global yang dipercayai merupakan versi penjenamaan semula Play 70 Plus berdasarkan nombor model yang sama, LOG-NX1. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina

