HONOR Malaysia secara rasmi melancarkan jam tangan pintar HONOR Watch 6 untuk pasaran tempatan dengan menawarkan bateri berkapasiti 980mAh yang mampu bertahan sehingga 35 hari, paparan AMOLED 1.46 inci berketahanan tinggi, serta sokongan GPS dwi-jalur dan NFC.
Dari segi rekaan, HONOR Watch 6 menampilkan badan setebal hanya 10.8mm dengan inspirasi papan pemuka kereta lumba. Varian Twilight Brown menggunakan badan keluli tahan karat 316L, manakala Shadow Black hadir dengan badan aluminium aloi bersama bezel keluli tahan karat.
Paparan LTPS AMOLED 1.46 inci beresolusi 464 × 464 ini menyokong kecerahan puncak sehingga 3000 nits, fungsi sentuh ketika basah, serta Touch to Wake. Jam tangan pintar ini turut dilengkapi bateri 980mAh yang menawarkan sehingga 35 hari penggunaan maksimum, sekitar 17 hari penggunaan biasa, atau sehingga 42 jam penggunaan GPS dwi-jalur secara berterusan.
Bagi ciri kesihatan, HONOR Watch 6 menyokong pemantauan kadar denyutan jantung 24 jam, sensor oksigen darah (SpO₂), pemantauan trend tekanan darah secara dinamik, serta fungsi Quick Health Scan untuk semakan kesihatan dengan satu sentuhan.
Untuk aktiviti kecergasan, peranti ini menyediakan lebih 120 mod sukan, termasuk mod Pro Badminton yang mampu menganalisis pukulan dan mod Pro Football dengan peta pergerakan pemain. Ia turut dilengkapi jurulatih larian AI, pembesar suara serta mikrofon terbina untuk panggilan Bluetooth.
Dari aspek sambungan, HONOR Watch 6 menyokong Bluetooth 5.4, GPS dwi-frekuensi L1+L5, NFC, serta penarafan kalis air 5ATM dan IP69. Ia juga serasi digunakan bersama peranti Android 9.0 ke atas dan iOS 15.1 ke atas. Peranti ini dijual pada harga RM699 untuk varian Shadow Black manakala varian Twilight Brown ditawarkan pada harga RM799.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: HONOR

