Infinix hari ini melancarkan tablet terbaharu iaitu XPAD 20 dengan harga permulaan serendah RM599. XPAD 20 menawarkan pelbagai ciri pintar, prestasi mantap dan rekaan moden dalam pakej yang mampu milik. Ia menampilkan paparan 11 inci FHD+ berasaskan teknologi LCD dengan kadar segar semula 90Hz dan dilengkapi pensijilan TÜV Rheinland Eye Care untuk melindungi mata.
XPAD 20 menonjol melalui keupayaan AI yang disepadukan terus ke dalam pengalaman pengguna. Pengguna boleh mengaktifkan pembantu suara Folax hanya dengan arahan suara “Hi Folax” dan bertanyakan apa sahaja soalan atau tindakan. Pembantu suara menyokong carian kandungan secara multimodal termasuk imej, dokumen dan halaman web tanpa perlu menutup aplikasi.
Tablet ini juga menawarkan penyelesaian kerja rumah berasaskan AI, penukaran imej kepada dokumen digital dan penjanaan imej melalui arahan pengguna. Ia menyertakan fungsi pengecaman skrin yang mampu menukar teks dalam tangkap layar atau dokumen tidak boleh disunting kepada kandungan yang boleh disunting serta-merta.
Ini amat berguna bagi pelajar yang kerap bekerja dengan bahan imbasan atau PDF. XPAD 20 dikuasakan cip MediaTek Helio G88 dengan sokongan rangkaian 4G LTE. Ia hadir dalam dua pilihan varian iaitu storan 6/128GB dan storan 8/256GB. Kedua-dua varian menyokong pengembangan storan sehingga 1TB melalui kad microSD.
XPAD 20 menggunakan sistem operasi Android 15 dan disokong dengan kemas kini sekuriti selama dua tahun serta ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Stellar Grey, Forest Green dan Dreamy Purple. Ia akan mula dijual secara rasmi pada 8 Julai 2025 menerusi Infinix Official Store di TikTok Shop serta di semua kedai jenama Infinix dan pengedar sah di seluruh negara.
Bagi pembelian sempena pelancaran, pelanggan akan menerima hadiah percuma selagi stok masih ada. Pembeli model 128GB akan menerima sarung pelindung XPAD 20 bernilai RM99 manakala pembeli model 256GB akan menerima sarung bersama papan kekunci bernilai RM299. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

