Infinix baru-baru ini mengumumkan pelancaran XPAD 20 Pro di Malaysia yang merupakan tambahan baharu dalam siri tablet XPAD. Ia menampilkan skrin lebih besar, prestasi lebih pantas dan sokongan AI dipertingkat.
XPAD 20 Pro tiba dengan paparan 12 inci beresolusi 2K (1200×2000) pada kadar segar semula 90Hz dan mendapat pensijilan TÜV Rheinland untuk Low Blue Light serta Flicker-Free yang menawarkan pengalaman tontonan selesa untuk mata. Rekaannya nipis hanya 6.58mm dengan berat 545g berbadankan binaan logam dalam pilihan warna Titanium Gray dan Mist Blue.
Sistem audio menampilkan quad-speaker DTS 360° pula memastikan bunyi terbaik untuk hiburan, permainan dan panggilan video. Tablet ini dikuasakan cip MediaTek Helio G100 Ultimate berasaskan teknologi 6nm dengan RAM 8GB yang boleh ditambah dengan RAM maya sehingga 8GB (keseluruhan 16GB) dan storan dalaman 256GB.
Ia turut menyokong sambungan 4G dan Wi-Fi manakala bateri 8000mAh hadir dengan pengecasan pantas 18W. XPAD 20 Pro juga membawa rangkaian ciri AI seperti pembantu suara Folax untuk carian dan terjemahan, AI Homework Solver dan Image-to-Doc untuk pelajar serta AI Writing dan AI Art bagi pencipta kandungan.
Fungsi kolaborasi rentas peranti seperti Phone Cast, papan klip bersama, pertukaran aplikasi dan perkongsian fail segera membolehkan pengguna beralih dengan mudah antara telefon dan tablet. Di Malaysia, XPAD 20 Pro ditawarkan dalam konfigurasi 8/256GB dengan harga rasmi RM999.
Sebagai promosi pelancaran, pembeli akan menerima papan kekunci XPAD 20 Pro Keyboard dan X Pencil 20 bernilai RM599 secara percuma selagi stok masih ada. Jualan bermula 16 September 2025 menerusi kedai rasmi Infinix di Lazada, Shopee, TikTok Shop, selain kedai jenama Infinix dan pengedar sah.
Selain itu, XPAD 20 yang dilancar pada Julai lalu kekal dijual pada harga RM599 sebagai pilihan lebih bajet dengan spesifikasi menarik. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet terbaharu daripada Infinix ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

