iQOO secara rasmi mengesahkan pelancaran telefon pintar terbaharu iQOO Z11 pada penghujung bulan ini. Wakil iQOO mendedahkan peranti berkenaan akan dilengkapi skrin gaming 165Hz dan bateri berkapasiti 9020mAh. Saiz bateri sebesar ini merupakan kapasiti terbesar yang pernah dihasilkan dalam sejarah iQOO.
Ia disasarkan untuk pasaran harga antara 2,000 hingga 3,000 yuan (~RM1,310 hingga RM1,965). Kehadiran iQOO Z11 dijangka memberi persaingan kepada realme P4 Power yang mempunyai bateri 10,001mAh dalam kategori harga yang sama. Maklumat daripada pangkalan data SIRIM Malaysia turut mengesahkan pendaftaran peranti ini di bawah nombor model I2512 sebagai iQOO Z11 5G.
Berdasarkan maklumat pensijilan 3C di China, ia bakal menyokong pengecasan pantas 90W. Laporan lain menyatakan penggunaan panel paparan LTPS dengan resolusi 1.5K. Walaupun perincian mengenai jenis pemproses belum diumumkan secara rasmi, ia dijangka menggunakan cip kelas pertengahan bagi menggantikan Snapdragon 7s Gen 3 pada model iQOO Z10 sebelum ini.
Pelancaran iQOO Z11 versi standard dijangka menyusul dalam tempoh terdekat bagi pasaran global termasuk Malaysia selepas pendedahan rasmi di China. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: 91 Mobiles

