Kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri, sebaliknya hanya dibenarkan menggunakan akaun yang diuruskan oleh ibu bapa, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Langkah ini bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko keselamatan dalam talian termasuk gangguan atau pemangsa siber yang mungkin menghubungi mereka melalui platform media sosial. Beliau berkata isu utama ialah siapa yang mengawal akaun tersebut.
Akaun yang dibuka oleh ibu bapa membolehkan mereka memantau jika terdapat individu tidak dikenali cuba berhubung dengan anak mereka melalui media sosial. Kerajaan kini melaksanakan regulatory sandbox bersama platform media sosial bagi memperkenalkan had umur minimum 16 tahun untuk pendaftaran akaun baharu.
Malaysia juga sedang meneliti mekanisme pengesahan identiti dan umur dengan memanfaatkan peruntukan undang-undang berkaitan MyKad yang berbeza daripada model pengesahan umur digunakan di Australia.
Menurut Fahmi, kanak-kanak masih boleh menonton kandungan dalam talian seperti di YouTube, namun pembukaan akaun peribadi tidak digalakkan kerana ia membolehkan individu luar berinteraksi secara langsung dengan mereka.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan peranti oleh anak dan tidak menjadikan gajet sebagai “penjaga” tanpa pengawasan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

